KPDNHEP PERIKSA 11 PREMIS, JUAL KAD NFC TOUCH ‘N GO TERLAMPAU MAHAL
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengesan penjualan kad Touch ‘n Go (TnG) Near-Field Communication (NFC) di platform atas talian pada harga terlalu mahal.
Kad TnG NFC membolehkan pengguna menambah nilai pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet yang tersedia pada peranti mudah alih. Malah, pengguna kad tersebut tidak dikenakan sebarang surcaj apabila melakukan transaksi tambah nilai.
Kad TnG NFC dijual pada harga RM10 di stesen minyak terpilih atau melalui transaksi dalam talian menggunakan aplikasi TnG. Bagaimanapun, kedua-dua saluran jualan kad itu dilaporkan mengalami bekalan terhad sejak April tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP telah menerima empat aduan rasmi berhubung perkara itu dan telah mengesan 13 iklan jualan kad membabitkan beberapa platform dalam talian.
Dalam satu kenyataan, beliau mendedahkan penjualan kad NFC TnG (di platform dalam talian) turut melibatkan pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak.
Berdasarkan semakan maklumat pengurus platform pasaran dalam talian itu, sebanyak 11 premis termasuk kediaman persendirian dan bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes itu.
Beliau berkata enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada pihak terbabit. Mereka dikehendaki mengemukakan maklum balas atau penjelasan rasmi kepada KPDNHEP Bahagian Penguatkuasaan.
Sekiranya gagal berbuat demikian, pihak terbabit mungkin dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011.
KPDNHEP dijangka mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG minggu ini untuk mendapatkan status kaedah semasa penjualan kad TnG NFC, serta mengenai kekurangan bekalan kad itu. – The Star