
MALAYSIA MOTOR EXPO 2022. SAKSIKAN MODEL TERBAHARU, KERETA MODIFIKASI DAN EV MAMPU MILIK!
Para peminat kereta tempatan akan dihidangkan dengan acara Malaysia Motor Expo 2022 (MME) yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 November 2022 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Selepas lebih dua tahun tiada acara permotoran dalam skala besar akibat wabak COVID-19, kemunculan MME 2022 pasti ditunggu ramai.
MME dianjurkan oleh Cars, Bikes & Trucks Media Sdn. Bhd. dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bertindak sebagai rakan strategik. Harus tahu bahawa MARii sudah pun bekerjasama dengan sektor swasta dalam menganjurkan acara pameran automotif selama 10 tahun.
“MME merupakan tempat di mana teknologi automotif digabungkan dalam satu atmosfera yang lebih meriah dan menghiburkan. Penganjuran pada tahun ini adalah sebagai maklum balas kepada pemulihan global selepas dua tahun dilanda COVID-19,” kata Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong.

Selain jualan kenderaan, antara objektif utama MME 2022 adalah untuk mempromosikan inisiatif kerajaan ke atas dekarbonisasi. Sedia maklum bahawa NAP 2020 menggalakkan peralihan kepada kenderaan cekap tenaga (EEV), termasuklah EV dan kenderaan sel bahan api.
Setakat ini, beberapa jenama automotif terkemuka sudah menyatakan komitmen mereka. Ini termasuklah Proton, Perodua, Honda, Ford, Toyota, Mazda, Volvo, Peugeot, Kia, Subaru, GWM, Chery dan banyak lagi.

Anda harus mengunjungi acara ini kerana ia akan menampilkan EV mampu milik dari China yang pastinya boleh mengubah pandangan rakyat terhadap mobiliti ini.
MME 2022 dimeriahkan lagi dengan pameran lebih 100 unit kereta modifikasi yang didatangkan khas dari Thailand dan Singapura, selain hasil kreativiti tuner tempatan.
Semua kereta baharu dan yang telah diubah suai akan dipamerkan dalam tiga dewan utama di KLCC.
Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri kemeriahan MME 2022 dan nikmati tawaran hebat yang disediakan.