Artikel Pilihan

PENTING KE PENUTUP ENJIN NI? KE HIASAN?

Kalau membuka bonet kereta moden, perkara yang mungkin menarik perhatian ialah penggunaan penutup plastik yang menutupi sebahagian besar bahagian atas enjin. Bagi sesetengah pemilik, penutup enjin mungkin kelihatan seperti sekadar aksesori kosmetik untuk menjadikan ruang enjin nampak lebih kemas.

Tetapi penutup enjin plastik yang digunakan oleh kebanyakan pengeluar mempunyai beberapa fungsi selain daripada mencantikkan rupa ruang enjin.

Antara fungsi utamanya ialah membantu mengurangkan bunyi yang terhasil daripada enjin. Enjin moden semakin kompleks dengan penggunaan sistem seperti suntikan bahan api tekanan tinggi, turbo, pam bahan api tekanan tinggi dan pelbagai komponen mekanikal lain.

Kesemua komponen ini menghasilkan bunyi dan getaran yang boleh didengari dari dalam kabin. Oleh itu, sesetengah penutup enjin direka bersama bahan penyerap bunyi atau lapisan penebat pada bahagian bawahnya bagi mengurangkan bunyi mekanikal tersebut.

Fungsi ini menjadi semakin penting apabila pengeluar cuba menghasilkan kabin yang lebih senyap. Enjin petrol moden dengan sistem suntikan terus misalnya boleh menghasilkan bunyi ketukan yang lebih jelas pada keadaan tertentu, manakala enjin tiga atau empat silinder bersaiz kecil yang menggunakan turbo pula mempunyai karakter bunyi tersendiri. Penutup enjin boleh membantu menghalang sebahagian bunyi tersebut daripada terus tersebar ke ruang enjin dan seterusnya ke kabin.

Selain itu, penutup plastik juga menjadikan ruang enjin kelihatan lebih kemas. Di bawah penutup enjin terdapat pelbagai komponen seperti ignition coil, injector, pendawaian, hos, sensor dan saluran tertentu yang mungkin kelihatan berserabut jika semuanya terdedah. Jadi pengeluar dapat menyembunyikan sebahagian besar komponen tersebut dan menghasilkan ruang enjin yang lebih tersusun.

Penggunaan plastik juga memberikan kelebihan dari segi berat dan kos. Berbanding penutup yang menggunakan logam, plastik lebih ringan dan secara umumnya lebih murah untuk dihasilkan. Dalam industri automotif, setiap pengurangan berat mempunyai nilai kerana ia boleh membantu mengurangkan berat keseluruhan kenderaan dan mengurangkan penggunaan bahan api atau kecekapan tenaga.

Pada masa sama penutup enjin juga boleh memberikan sedikit perlindungan kepada komponen tertentu daripada habuk, kotoran dan serpihan yang terdapat dalam ruang enjin. Bagaimanapun, tahap perlindungan ini bergantung kepada reka bentuk penutup tersebut dan ia bukanlah fungsi utama bagi semua jenis engine cover.

Ada juga penutup enjin yang mempunyai fungsi berkaitan pengurusan haba. Sesetengah reka bentuk digunakan bersama bahan penebat bagi mengawal pemindahan haba daripada enjin ke komponen di sekelilingnya. Ini boleh membantu melindungi pendawaian, sensor dan komponen elektronik yang berada berhampiran sumber haba tinggi.

Dalam sesetengah model pula, penutup yang digunakan bukan sekadar panel untuk menutup enjin. Reka bentuknya boleh menjadi sebahagian daripada sistem pengurusan aliran udara di dalam ruang enjin. Ia mungkin digunakan untuk mengarahkan udara ke kawasan tertentu atau membantu memastikan aliran udara dan haba berlaku seperti yang dirancang oleh jurutera.

Bagaimanapun, tidak semua penutup enjin plastik mempunyai fungsi yang sama. Ada yang hampir sepenuhnya bersifat kosmetik, manakala ada yang turut mempunyai fungsi akustik, thermal management atau pengurusan aliran udara. Jadi tidak semestinya semua engine cover boleh dibuang begitu sahaja tanpa sebarang kesan.

Jadi, apabila melihat penutup plastik besar di atas enjin kereta moden, jangan anggap ia sekadar aksesori untuk mencantikkan ruang enjin. Walaupun penampilannya mungkin nampak seperti komponen kosmetik, pengeluar sebenarnya boleh menggunakannya untuk beberapa tujuan termasuk mengurangkan bunyi, mengawal haba, menguruskan aliran udara, melindungi komponen tertentu serta memastikan ruang enjin kelihatan lebih kemas.

Google ads
Back to top button