
MARUTI SUZUKI CELERIO 2020 – GUNA BAHAN API SERENDAH 3.7L/100 KM
Di India, Maruti Suzuki yang merupakan pemegang pasaran kereta penumpang terbesar di sana baru-baru ini melancarkan generasi ketiga hatchback segmen A, Maruti Suzuki Celerio.
Dibangunkan menggunakan pelantar HEARTECT, Maruti Suzuki Celerio kini jauh lebih besar berbanding model terdahulu, dengan ukuran panjang sekitar 3,695 mm, lebar 1,655 mm, tinggi 1,555 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,435 mm.
Selain daripada itu, saiz ruang kargo di belakang juga 40 peratus lebih besar, iaitu sekitar 313 liter.

Ia dipadankan dengan enjin 1.0 liter K10C yang mampu menjana 65 hp dan 89 Nm, selain menampilkan teknologi start-stop, Dual VVT dan Exhaust Gas Recirculation (EGR).
Menurut Maruti Suzuki, Celerio generasi baharu ini lebih jimat minyak, dengan bacaan serendah 3.74 liter untuk setiap 100 km untuk versi AMT, atau 4.0 liter/100 km untuk model bertransmisi manual.
Dari segi rupa luaran, rekaan Celerio generasi baharu menampilkan bahasa rekaan Dynamic 3D Organic Sculpting yang menjadikan rekaan lebih lembut seperti lampu utama yang lebih bulat, dan rekaan gril yang lebih kecil.

Sementara ruang kabin juga telah menerima kemaskini rekaan, di mana ia kini menempatkan skrin infotainmen bersaiz tujuh inci di bahagian tengah, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pandu-mula, kawalan audio pada roda stereng dan tempat duduk pemandu boleh laras ketinggian.
Antara ciri keselamatan termasuklah dua beg udara SRS, ABS, dan EBD sebagai ciri standard, serta tambahan bantuan mula mendaki untuk model bertransmisi AMT.
Harga jualan di India bermula dari INR 499,000 (RM27,943) sehingga INR 649,000 (RM38,864).