Artikel Pilihan

MATT WATSON – BMW 520i LAGI BAGUS DARI 530i PHEV DAN i5

Pengacara Matt Watson dari saluran Carwow baru-baru ini membuat perbandingan tiga model BMW terkini untuk cari jawapan soalan yang ramai pembeli sedan premium tertanya-tanya, “model mana paling murah untuk dimiliki dan dipandu setiap hari?”

Dalam video terbaru Matt telah menguji sedan BMW 520i Mild Hybrid, BMW 530i Plug-in Hybrid (PHEV), dan BMW i5 eDrive 40 EV.

Harga Asas – Perbezaan Ketara dari Awal

BMW 520i Mild Hybrid adalah paling “mampu milik” (bagi golongan T20) dengan harga sekitar £52,000. Naik satu tangga, 530i PHEV bermula pada £59,000. Sementara itu, BMW i5 eDrive 40 adalah yang paling premium dan juga model paling mahal pada harga £74,000.

Kenaikan harga ini secara langsung mempengaruhi kos pemilikan jangka panjang. Ini kerana perbezaan harga awal yang besar, secara otomatik tempoh untuk “balik modal” dari penjimatan bahan api atau elektrik juga akan menjadi semakin lama.

Penggunaan Bahan Api & Kecekapan

Berikut ialah data kecekapan bahan api dari angka rasmi:

  • 520i Mild Hybrid – 20km/liter.
  • 530i PHEV – 200km/liter jika guna mod EV sepenuhnya, dengan jarak elektrik 96 km hasil bateri 19.4 kWh.
  • i5 eDrive 40 – 100% elektrik, dengan kecekapan sekitar 6.27km/kWh (lebih baik berbanding 530i yang 4.67km/kWh dengan mode elektrik).

Di atas pengiraan kertas semata-mata, BMW 530i memang menunjukkan penjimatan luar biasa apabila baterinya penuh dan dipandu dalam mod elektrik. Tapi apabila bateri 19.4kWh habis, penggunaan bahan api meningkat kepada ±9.35 £ per 100 km dan jauh lebih mahal dari 520i mild hybrid

Jejak Karbon

Matt Watson juga memberikan data pelepasan gas CO₂ apabila pengeluaran kereta dibuat dengan model BMW 520i mild hybrid hanya membebaskan 11.1 tan gas, diikuti oleh 530i PHEV sebanyak 14.6 tan dan akhir sekali i5 sebanyak 17 tan.

Namun semasa memandu, model 520i membebaskan gas CO₂132 g/km, diikuti oleh 530i sebanyak14 g/km dan akhir sekali BMW i5 adalah 0 g/km menunjukkan EV adalah paling bersih ketika dipandu. Walaupun jelas i5 menang di jalan raya, tapi dari perspektif “life cycle” (ambil kira pengeluaran bateri besar), nilainya tidak serendah yang orang sangka.

Kos Operasi Tahunan

Dengan mengambil kira anggaran jarak pemanduan sekitar 8,000 km setahun, Matt Watson mendapati model 520i mild hybrid hanya memerlukan kos petrol sebanyak £1,240 sahaja. Ini diikuti oleh model 530i PHEV yang menelan belanja £1,350 (mod EV) atau £1,590 (mod petrol). Bagi model BMW i5 kos operasinya ialah £1,620

Di sini model BMW 520i terbukti paling jimat untuk dipandu setiap hari, walaupun hanya menggunakan teknologi mild hybrid.. Matt Watson turut menunjukkan kiraan matematik yang menarik:

  • Untuk “offset” harga 530i berbanding 520i, anda perlu memandu 70,000 batu (±112,000 km) dalam mod EV selama 9 tahun. Dalam mode petrol, ia akan mengambil masa dan jarak yang lebih besar
  • Untuk i5, jurangnya lebih besar dimana anda perlu memandu sejauh 200,000 batu (±320,000 km) atau 25 tahun untuk menyamai kos pemilikan 520i.

Realistiknya, kebanyakan pemilik tidak akan menyimpan kereta selama itu.

Berdasarkan kos tahunan, susut nilai, dan harga awal, BMW 520i Mild Hybrid adalah pilihan paling praktikal untuk pemilikan peribadi menurut Matt Watson. Ia lebih jimat, lebih mudah untuk mencapai nilai “balik modal”, dan memerlukan kos operasi yang rendah.

BMW 530i PHEV sesuai kalau anda ada akses pengecasan mudah dan betul-betul memandu majoriti masa dalam mod elektrik dan juga sekiranya ia dibeli di atas nama syarikat. Bagi BMW i5 walaupun ia memberi sifar emisi ekzos dan rasa pemanduan EV tulen, tapi harganya terlalu tinggi dan tempoh untuk capai penjimatan sebenar menjadi terlalu panjang untuk kebanyakan orang.

Google ads
Back to top button