
MAZDA : KAMI BELUM BERHENTI BUAT ENJIN ROTARY
Mazda adalah sebuah syarikat automotif yang unik dan luar biasa. Sebenarnya, Mazda hanyalah sebuah syarikat kecil kalau dibandingkan dengan Toyota dan Honda dari benua Jepun. Namun bagi kebanyakan kereta berjiwa Jepun, Mazda satu-satunya yang masih kekal dengan prinsip mereka.
Sejak memperkenalkan enjin Rotary Wankel pertamanya menerusi model Cosmo, Mazda tetap percaya setiap pembuat perlu ada kekuatan masing-masing untuk dikenali. Prinsip dan falsafah inilah yang menyebabkan Mazda beberapa kali terpaksa diselamatkan syarikat lain. Mereka terpaksa bergelut dengan falsafah pembuatan dan persaingan pasaran yang semakin kritikal.
Terbaru, Mazda kini mempunyai lebih dari 100 orang jurutera yang sedang dalam proses menghasilkan enjin rotari generasi baru. Mana nak dapat enjin berkapasiti kecil (1.3 liter) yang mampu memalukan enjin-enjin lain yang sekali ganda lebih besar daripadanya?
Enjin generasi baru yang aneh ini merupakan enjin pembakaran dalaman tanpa piston yang pertama di dunia. Ia merupakan teknologi unik Mazda yang telah memikat hati kaki-kaki kereta sejak mula diperkenalkan seawal tahun 1965.
Enjin rotary sebelum ini diketahui umum mempunyai banyak kelemahan seperti keluaran bahan bakar yang kurang cekap, penggunaan petrol yang tinggi serta penghasilan tork yang rendah.
Pengeluaran model terakhir RX-8 telah dihentikan sejak dari tahun 2012 ekoran masalah tersebut. Sekarang anda tahu kenapa harga RX-8 di pasaran terpakai agak rendah bukan?
Sebenarnya banyak syarikat pengeluar kereta yang mempunyai karekter masing-masing dalam menghasilkan kenderaan. Volvo terkenal dengan kereta yang selamat, Toyota tersohor dengan imej ekonomikal dan Mini semestinya kerana saiznya (Takdela kecil sangat Mini sekarang sebenarnya).
Tapi syarikat seperti Mazda memilih untuk mengekalkan konsep enjin rotary sejak sekian lama. Ia seolah-olah sudah menjadi sebahagian sejarah syarikat itu sendiri.
Menurut Jeremy Barnes, jurucakap bagi Mazda, penyelidikan ke atas enjin ini tidak pernah berhenti dan mereka juga berharap kejayaan akan dicapai dalam beberapa tahun lagi. Beliau juga menambah, enjin rotari seolah-olah menjadi obsesi di dalam syarikat tersebut.
Itu baru di dalam syarikat, di luar syarikat pula, ramai lagi kaki-kaki kereta yang cukup terpukau dengan kehebatan enjin rotari yang mampu berputar pada kelajuan lebih tinggi berbanding enjin biasa. Ia juga menghasilkan kurang gegaran berbanding enjin biasa dan ramai peminat di luar sana yang sudah tidak sabar menanti kehadiran enjin generasi baru ini.
Syarikat ini sudah mula memberikan isyarat kepada peminat enjin rotari di luar sana dengan mempamerkan model konsep RX Vision di Pameran Motor Tokyo tahun lepas. Ramai menjangkakan model baru ini akan menampilkan bentuk grand-tourer dan akan dikuasakan oleh enjin rotari baru yang dinamakan 16X.
Namun seperti yang dijangkakan, cabaran para jurutera untuk mengatasi masalah yang membelenggu enjin 13B yang lama bukan satu laluan mudah.
Meningkatkan sesaran daripada 1.3 kepada 1.6 liter merupakan satu cara untuk meningkatkan tork maksima enjin ini tetapi ia akan mengakibatkan peningkatan keluaran gas ekzos. Para jurutera Mazda kini mereka mampu mengadunkan teknologi penjimatan bahan bakar untuk enjin berpiston biasa kepada enjin rotary. Ia merupakan sistem yang mereka gelar “SkyActiv”. Macam pernah dengar kan?
Masalah ini adalah ekoran struktur enjin rotari itu sendiri yang berbeza dengan enjin berpiston biasa hari ini. Enjin biasa akan mengeluarkan minyak pelincir dari kebuk pembakaran untuk memastikan pembakaran yang cekap. Ini berbeza dengan enjin rotary yang membakar sekali minyak pelincir sekaligus memburukkan lagi keluaran gas ekzos.
Apa yang lebih sedih, enjin rotary bukan sahaja kurang mesra alam, ia juga kurang disenangi di litar perlumbaan. Selepas mereka memenangi perlumbaan Le Man dengan kereta 787B pada tahun 1991, undang-undang perlumbaan telah dipinda dan mereka telah dilarang menyertai perlumbaan seterusnya. Ia sangat merugikan kerana mereka merupakan pengeluar kenderaan pertama dari Jepun yang memenangi perlumbaan tersebut.
Walaupun tidak dibenarkan lagi berlumba, enjin rotary terkemuka Mazda masih lagi mempunyai ramai peminat tegar dan tidak mustahil mereka akan kembali berlumba jika kemajuan mampu di capai pada masa hadapan untuk mengatasi kekurangan yang ada pada enjin tersebut.
Kita perlu berharap Mazda akan terus kekal dengan tradisi mereka. Mitsubishi sudah habis kegemilangan Evolution mereka, Subaru semakin menyepi, Honda Type-R kini beralih pembangunan ke Eropah dan kereta-kereta pantas kini banyak dimonopoli jenama-jenama mewah dan premium
Mazda perlu bangkit untuk membawa “jiwa” Jepun. Ia mungkin sukar tetapi kami tetap berharap Mazda menjadi ketua kelas bagi kereta-kereta sport murah 90-an seperti RX7, Silvia, Supra dan MR2.
Harapnya begitulah…