
TAYAR MICHELIN PILOT SPORT 4 – 23 SAIZ, BERMULA RM481 SEUNIT
Michelin Malaysia hari ini melancarkan produk terbaharunya, MICHELIN Pilot Sport 4 di Setia Alam, Selangor. Menggantikan Pilot Sport 4, tayar ini menjanjikan prestasi yang lebih baik untuk semua pelanggan di Michelin di Malaysia. Sudahpun berada di pasaran, tayar itu diimport dari kilang Michelin di Thailand.
Bagi memberi pilihan dan menjangkau seramai mungkin pengguna, Pilot Sport 4 didatangkan dalam 23 saiz – 16 hingga 19 inci pada harga bermula RM481 seunit.
MICHELIN Pilot Sport 4 memberikan lebih banyak manfaat berbanding tayar sebelum ini. Ia hadir dengan inovasi dan teknologi teknologi terkini yang berfungsi meningkatkan prestasi dan keselamatan pengguna.
“Tayar ini direka untuk pemandu yang tidak mahu berkompromi dengan soal keselamatan di jalan raya. Selain menjanjikan kawalan pengendalian terbaik dalam apa jua situasi,” kata Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Pascal Nouvellon.
Dalam ujian dalaman yang dilaksanakan pada Ogos 2016 di kemudahan ujian JKN dan JARI Michelin di Jepun oleh pemandu uji profesional, MICHELIN Pilot Sport 4 didakwa berjaya mengatasi jenama pesaingnya dengan mudah.
MICHELIN Pilot Sport 4 ialah tayar pertama yang menggunakan teknologi Respons Dynamic Michelin. Teknologi itu terdiri daripada satu belt dengan hybrid aramid dan nilon yang kukuh. Ia membolehkan tayar menahan daya pemusatan serta mengekalkan kestabilan sentuhan tayar dengan permukaan jalan pada kelajuan tinggi. Ini memastikan tahap cengkaman, maklum balas, pengendalian dan kawalan yang lebih baik ketika memandu.
Diinspirasikan daripada tayar perlumbaan Formula E, rekaan bunga tayar yang baru pada MICHELIN Pilot Sport 4 membolehkan tayar itu menawarkan prestasi pengendalian di atas jalan kering dan basah dengan cemerlang.
Ciri elastomer dan silika hidrofobik telah ditambah pada sebatian getah tayar ini. Ia bagi meningkatkan keberkesanan cengkaman sewaktu membrek. Alur bunga tayar yang memanjang jelas dapat berfungsi mengeluarkan air dengan berkesan.
Semua ini bukan sekadar cerita kosong. Sepasukan wartawan diberi peluang untuk menguji tayar baharu itu di kawasan parkir berhampiran Setia City Convention Centre, Setia Alam.
Ujian pertama memerlukan peserta memandu melalui slalom di atas permukaan jalan yang kering dan basah. Tidak dapat dinafikan bahawa MICHELIN Pilot Sport 4 berupaya memberikan cengkaman yang jauh lebih baik berbanding tayar pencabarnya.
Sesi kedua pula melibatkan ujian membrek secara mengejut di atas permukaan jalan kering. Seperti yang dijanka, tayar baharu itu memerlukan jarak membrek yang lebih pendek berbanding tayar pesaingnya.