Buletin

MAZDA SPIRIT RACING ROADSTER DAN SPIRIT RACING ROADSTER 12R UNTUK JEPUN, 200 TERHAD!

Jika dahulu Mazdaspeed, sekarang giliran Mazda Spirit Racing bertugas sebagai jenama permotoran untuk syarikat Jepun ini.

Model pertama yang dipilih adalah kereta ‘buka atap’ dan diberi nama rasmi Mazda Spirit Racing Roadster dan Mazda Spirit Racing Roadster 12R.

Di Jepun, MX-5 atau Miata dipanggil Roadster. Perubahan yang dibuat bukan hanya pada penampilan tetapi juga enjin dengan kuasa lebih tinggi.

Enjin Skyactiv-G 2.0 liter menggunakan perkakasan khas seperti aci sesondol, kepala silinder dan pancarongga ekzos.

Mazda Spirit Racing Roadster 12R memiliki kuasa 200 ps berbanding 184 ps dan direka untuk pemanduan harian dan di litar.

Untuk makluman, Roadster (bumbung lembut) pasaran Jepun menggunakan enjin Skyactiv-G 1.5 liter manakala Roadster RF (bumbung keras) digerakkan Skyactiv-G 2.0 liter.

Sebuah lagi model iaitu Mazda Spirit Racing Roadster mempunyai kuasa 184 ps dan sama seperti Roadster RF standard.

Penyejukan enjin ditambah baik dengan menukar spesifikasi radiator.

Perhatian turut diberi pada pembrekan dengan angkup Brembo warna merah dan cakera lebih besar.

Untuk pengendalian, tetapan khas dibuat pada karateristik redaman dan kadar kekenyalan pegas gegelung penyerap hentak boleh laras Bilstein.

Mazda juga memaklumkan badan kereta lebih tegar susulan penggunaan pendakap bawah lebih tebal dan pakej pengendalian menyumbang kepada pemanduan bermutu tinggi di bandar dan stabil semasa pemanduan sporti.

Bahagian luar kereta memanfaatkan pengetahuan dari perlumbaan Super Taikyu selain pengujian terowong angin dan di litar.

Melalui ujian dunia sebenar yang mendalam, keseimbangan aerodinamik bahagian depan dan belakang, daya mendap dan seretan telah dioptimumkan.

Hasilnya diterjemahkan pada kestabilan yang cemerlang dan pengendalian pada kelajuan tinggi.

Rekaan rim Rays dibuat seperti kereta nombor 12 yang digunakan di dalam Super Taikyu. Rim khas yang dibangunkan mengikut TE37 mempunyai ketegaran tinggi dan pengurangan berat tak berpegas.

Untuk bahagian dalam, Alcantara yang juga digunakan pada jentera Super Taikyu membaluti kerusi dan beberapa perkakasan lagi.

Mazda Spirit Racing Roadster 12R ditawarkan dalam warna Aero Gray dan sebanyak 200 buah sahaja ditawarkan untuk pelanggan di Jepun.

Mazda Spirit Racing juga mempunyai koleksi aksesori seperti peredam ekzos sport dari titanium, tayar Advan Neova AD09, kit penjajaran sport (sesendal, penahan hentakan pendek) dan set brek (cakera berliang dan pad brek sport).

Turut ditawarkan tali pinggang keledar empat sudut dengan logo Mazda Spirit Racing.

Google ads
Back to top button