
MAZDA5 MPV – RM153,019
Selepas sukses dengan model-model yang dikuasakan oleh teknologi SKYACTIV seperti CX-5, Mazda6, Mazda3 dan Biante, pengedar kenderaan Mazda di Malaysia. Bermaz Motor Sdn. Bhd. hari ini melancarkan pula MPV Mazda5.
Disifatkan sebagai MPV yang bernilai untuk wang dan lebih mewah, Mazda5 tampil bergaya menerusi bahasa rekaan Nagare Flow pada bahagian luarannya. Sedia maklum bahawa Mazda5 sudah lama dikenali sebagai sebuah MPV yang praktikal dan selamat.
Maka tidak hairanlah jika ia memiliki kedudukan istimewa dalam segmen kenderaan multi aktiviti kompak (Compact Multi-Activity Vehicle, C-MAV). Ia banyak dibantu oleh susun tempat duduk yang fleksibel, pintu sisi kuasa dan kualiti pemanduan mengujakan.
Mazda5 dilengkapi oleh ciri-ciri terbaik teknologi SKYACTIV. Enjin SKYACTIV G bersesaran 2.0 liter itu mampu menghasilkan kuasa mencecah 149hp @ 6,000 dan tork maksimum 190Nm @ 4,100rpm. Enjin tersebut mengganti enjin MZR bersesaran 2.0 liter.
Enjin SKYACTIV G itu kemudian dipadankan dengan transmisi SKYACTIV Drive enam kelajuan automatik. Gabungan rangkaian kuasa itu dan ciri I-Stop membolehkan Mazda5 mencatat penggunaan bahan api sehingga 6.6 liter untuk setiap 100 kilometer.
Melihat kepada prestasinya pula, MPV ini mampu memecut dari titik pegun ke 100km/j dalam tempoh 11.4 saat dengan kelajuan maksimum 194km/j.
Kabin Mazda5 dibina berdasarkan kepada konsep 6+One. Maksudnya, anda boleh menempatkan enam hingga tujuh penumpang dengan selesa menggunakan tempat duduk ketujuh yang dikenali sebagai Karakuri.
Apabila kerusi itu tidak digunakan, ia memberi ruang kepada penumpang untuk bergerak ke tempat duduk baris ketiga dengan mudah. Bagi meningkatkan fleksibiliti dan ruang kargo, tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat mengikut beberapa konfigurasi.
Tidak mengabaikan aspek keselamatan pemandu dan penumpangnya, Mazda5 dilengkapi dua beg udara, sistem brek ABS pada empat roda (4W-ABS), EBD, BA, Dynamic Stability Control (DSC), ISOFIX, sensor parkir belakang dan sistem penggera kecurian.
Diimport sepenuhnya dari Jepun, Mazda5 ditawarkan pada harga RM153,019 seunit (tidak termasuk insurans). Anda boleh memilih daripada empat warna yang ditawarkan iaitu perak, putih, kelabu dan hitam.
Menurut Bermaz Motor, sebanyak 300 unit Mazda5 sudah sedia untuk ditempah dengan tempahan dibuka sejak dua minggu lalu. Sehingga kini, ia nyata mendapat sambutan yang menggalakkan.
Pengarah Eksekutif Prima Merdu Sdn. Bhd., Datuk Amer Hamzah Ahmed memberitahu, pihaknya mensasarkan untuk menjual sekitar 20 hingga 30 unit Mazda5 sebulan.












