
MBM RANCANG LANCAR 20 PRODUK BAHARU TAHUN 2023, LIBATKAN MODEL EV, AMG DAN SEGMEN MEWAH MERCEDES-BENZ
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dilihat akan terus agresif apabila merancang hendak melakukan 20 pelancaran produk pada tahun ini melibatkan model elektrik, AMG dan segmen mewah Mercedes-Benz.
Fokus juga akan diberikan ke atas usaha elektrifikasi merangkumi penyediaan infratruktur pengecasan, latihan kepada program perantis, selain memastikan peralihan mindset ke arah elektrifikasi dalam kalangan pengedar.
“Aspek elekrifikasi turut melibatkan kakitangan MBM yang menyaksikan EV menjadi kereta syarikat. Justeru, timbul keperluan untuk melengkapkan kemudahan kami dengan 18 pengecasan AC dan satu DC berkapasiti 350kW pada tahun 2023.
“Satu lagi ialah kerjasama dengan Petronas dan JomCharge, semua ini mengikut jadual seperti yang dirancang,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Sagree Sardien salam satu temubual selepas pelancaran rasmi GLC 300 4MATIC baru-baru ini.
Menyentuh tentang perancangan rangkaian pengecasan EV, Sardien memberitahu pihaknya tahun lalu ada mengumumkan bakal menawarkan 13 hingga 14 pusat pengecasan pantas (DC). Sehingga kini, 11 pengecasan DC sudah dipasang di seluruh negara. Ada lagi tiga pengecasan DC yang perlu disiapkan pada tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Sagree menyatakan bahawa GLC 300 4MATIC yang baru sahaja dilancarkan di pasaran tempatan tidak akan ‘cannabalized’ mana-mana model sedia ada yang ditawarkan oleh MBM kerana ia mempunyai sasaran pelanggan yang spesifik.
Harus tahu juga bahawa Malaysia merupakan negara pertama di rantau ini yang menerima model generasi baharu tersebut. GLC menjadi model penting kepada MBM dengan menyumbang 16 peratus kepada jualan keseluruhan. Sebab itulah syarikat perlu menawarkannya secepat mungkin.
Jadi, jentera itu akan melengkapkan lagi tawaran model SUV sedia Mercedes-Benz yang merangkumi GLA, GLB dan GLS, sekali gus dapat memenuhi keperluan serta bajet pelanggan yang berbeza-beza.
Ditawarkan dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) pada harga bermula RM429,000 seunit, 200 unit yang ada dikatakan sudah habis dijual. Model CKD pula dijangka hadir di pasaran menjelang akhir tahun ini.
Buat masa sekarang, MBM hanya membuat keputusan untuk menawarkan satu varian sahaja iaitu GLC 300 4MATIC. Malah, syarikat berkenaan tidak mempunyai sebarang perancangan terdekat untuk memperkenalkan varian lain seperti plug-in hybrid (PHEV) atau GLC 200.
“Jika kami lihat wujud permintaan yang signifikan terhadap PHEV, kami akan ambil perhatian dan teruskan strategi elektrifikasi. Kami percaya portfolio elektrifikasi sedia ada dapat memenuhi kehendak pelanggan,” katanya lagi.