Buletin

MEKANISME PENYELARASAN PIAWAIAN FILEM PENGHADANG HABA

Satu mekanisme penyelarasan piawaian filem penghadang haba pada cermin kenderaan, bakal diperkenalkan bagi mengurangkan kontroversi yang tercetus dalam proses penguatkuasaannya sebelum ini. Perlaksanaan mekanisme ini akan membuka lembaran baru dalam proses penggubalan polisi dan peraturan yang lebih telus, sekaligus menyelesaikan kekeliruan yang berlaku.

Dalam merealisasikan mekanisme penyelarasan ini, YB Dato’ Sri Liow Tiong Lai, menerusi Kementerian Pengangkutan Malaysia, telah mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan AAA (Auto Audio, Accessories & Air-Condition Traders Association of Malaysia) yang mewakili para pengusaha industri filem penghadang haba di negara ini. Menerusi input yang diberikan oleh pihak AAA dan agensi kerajaan yang lain, mereka akhirnya mencapai kata sepakat dalam merangka formula yang lebih berkesan untuk kebaikan bersama.

Mekanisme penyelarasan yang dibangunkan, merangkumi penyediaan perisian yang diiktiraf dan boleh ditambah baik serta dikemaskini. Ia hasil penyelidikan sebuah syarikat yang dilantik oleh pihak SIRIM, mengikut piawaian Malaysian Standard (MS2669). Setiap filem penghadang haba yang dipasang ini juga, akan dilekatkan dengan label keselamatan (QR) yang boleh diimbas menggunakan aplikasi telefon bimbit.

Sebelum ini, operasi penguatkuasaan terhadap penggunaan filem penghadang haba sering menimbulkan kekeliruan, baik di pihak industri mahupun pengguna. Menerusi pengenalan mekanisme baru ini, ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada alatan ujian yang tidak menepati piawaian, selain membantu mengelak pertikaian dan meningkatkan ketelusan dalam sistem penguatkuasaan.

Dengan adanya sistem pengesahan ini juga, kepentingan pengguna akan lebih terjamin memandangkan kualiti produk yang digunakan dapat dikenalpasti, sekaligus membasmi produk bermutu rendah yang boleh menjejaskan reputasi industri.

Bagi membela kepentingan semua, Kementerian Pengangkutan tidak mewajibkan penggunaan mekanisme dan produk yang mengandungi label keselamatan ini, sekiranya filem penghadang haba yang sedang digunakan memenuhi piawaian yang telah ditetapkan. Sebaliknya, ia merupakan inisiatif awal kementerian dan pihak berkuasa, agar pengguna tidak tertipu membeli produk yang tidak diluluskan.

Operasi penguatkuasaan filem penghadang haba yang tidak menepati piawaian ini, dijangka bakal dilaksanakan sepenuhnya menjelang 1 Januari 2018.

-PAK MAUN-

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button