Buletin

MOT RANCANG BANGUNKAN SISTEM ATAS TALIAN UNTUK PEMBATALAN PENDAFTARAN KENDERAAN

Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mengatur langkah ke arah digitalisasi dengan membangunkan sistem melalui aplikasi atau kaedah digital lain bagi pembatalan pendaftaran kenderaan motor.

Timbalan Menteri Kementerian Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sistem tersebut bertujuan untuk memudahkan mana-mana individu membuat pembatalan pendaftaran kenderaan tanpa perlu hadir ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kenderaan buruk tersebut seterusnya boleh dilupuskan oleh syarikat pelupusan sisa pepejal, Kemudahan Rawatan Automatif Berlesen (AATF) yang diiktiraf mengikut peraturan telah ditetapkan oleh agensi berkaitan.

“Diharap dengan pelaksanaan inisiatif ini, ia akan dapat menyelesaikan isu lambakan kenderaan buruk dan usang di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, perkara melibatkan pelupusan kenderaan serta kelestarian alam sekitar bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab MOT semata-mata tetapi turut melibatkan kementerian lain.

“Dalam hal ini, Kementerian melalui JPJ sedia bekerjasama bersama agensi kerajaan terlibat bagi mengkaji hala tuju jangka masa panjang termasuk mengkaji konsep pelupusan kenderaan usang,” – Awani

Google ads
Back to top button