Buletin

LESEN MEMANDU 10 TAHUN, JPJ TETAP AMBIL TINDAKAN

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tetap akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan jalan raya walaupun pemegang lesen memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh 10 tahun.

Jelas beliau, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai sistem bagi mengesan pesalah dan tindakan seperti penggantungan lesen atau menarik lesen bagi kesalahan tertentu.

“Walaupun ada pihak mendakwa dengan cara ini orang tidak bayar saman dan sebagainya, kami ada cara lain iaitu digital.

“Kalau mereka ada kesalahan seperti kes kemalangan, hukuman gantung lesen mereka tetap dilakukan, bukan bermaksud pemegang lesen itu sudah bayar (lesen) tidak akan digantung,” katanya.

Perkembangan berkaitan, kerajaan memulakan dasar baharu iaitu membenarkan pemegang lesen memandu bagi semua kategori mendapat diskaun 10 peratus sekiranya memperbaharui tempoh 10 tahun.

“Cuma bayar RM270 berbanding RM300. Itu adalah dasar baharu yang kami perkenalkan untuk memudahkan orang ramai,” Tambah beliau.

Selain itu, JPJ terus memperkasakan integriti penguatkuasaan bagi mengatasi masalah ‘tonto’ selain, menambah baik kelemahan dalaman agar maklumat tidak bocor kepada pihak luar.

“Kami tahu ada cubaan untuk mendapat maklumat daripada orang dalaman dan Tonto memang isu sedang dihadapi oleh JPJ,” katanya.

Loke berkata, apa jua kaedah digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu, ia tidak akan dapat mencabar undang-undang negara. – BERNAMA

Google ads
Back to top button