Buletin

MALAYSIA KINI ADA 32.3 JUTA KENDERAAN BERMOTOR

Sehingga 31 Disember 2020, Malaysia merekodkan 32.3 juta kenderaan bermotor dengan purata pertambahan kenderaan baharu melebihi 1.2 juta berbanding tahun sebelumnya.

Sementara bilangan pemandu yang dilesenkan juga meningkat kepada 15.8 juta berbanding 15.3 juta pada 2019.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, prestasi kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara keseluruhan pada tahun lalu juga baik dan cemerlang. Ia melibatkan kutipan sebanyak RM4.143 bilion, meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19.

“Manifestasinya, peningkatan jumlah pemandu dan kenderaan ini secara langsung memberikan impak yang besar terhadap semua urusan serta urusniaga berkaitan JPJ. Sama ada pelesenan kenderaan, pelesenan pemandu mahu pun tugas penguatkuasaan.

“Selain itu, peningkatan jumlah pengguna jalan raya ini memberikan hipotesis yang amat sinonim dengan peranan JPJ berkaitan pendidikan dan penguatkuasaan keselamatan jalan raya, lebih-lebih lagi selepas Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) diserap masuk ke JPJ,” katanya.

Ka Siong ditemui selepas melakukan pecah tanah Pembangunan Litar Latihan Ujian Memandu, di Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tiang Dua, Melaka.

Projek Pembangunan Litar Latihan Ujian Memandu itu melibatkan kos sebanyak RM2.3 juta di atas tanah seluas dua hektar. Kemudahan tersebut akan digunakan sebagai kemudahan latihan asas, pertengahan dan lanjutan.

Ini bagi menghasilkan standard tenaga pengajar serta penguji yang kompeten serta profesional, setanding dengan negara maju seperti China, Jepun, Korea dan Singapura.

Justeru, beliau yakin pembangunan infrastruktur itu akan dapat memberi kemudahan prasarana kepada agensi dan jabatan di bawah kementeriannya. Selain dapat digunakan secara meluas dalam program jaringan industri. – Harian Metro

Google ads
Back to top button