MTUC GESA KERAJAAN KAJI SEMULA PROSEDUR DAPATKAN LESEN MEMANDU
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan melakukan rombakan sepenuhnya dalam prosedur mendapatkan lesen memandu yang membebankan golongan B40.
MTUC berkata bayaran untuk mendapatkan lesen D berharga antara RM1,200 hingga RM2,300 disifatkan terlalu tinggi untuk kumpulan B40 selain berpendapat ia tidak setimpal dengan perkhidmatan diberikan.
Tambahnya, seorang pelajar juga diminta membayar RM100 kerana tidak hadir dalam ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) walaupun terlepas ujian dengan alasan yang munasabah.
MTUC turut memberikan contoh lain seperti pelajar buta warna menduduki ujian komputer termasuk ujian buta warna. Â
“Apabila gagal dalam ujian, pelajar perlu membayar yuran lain untuk menduduki ujian khas yang lain. Bayaran dua kali ini atas alasan tempahan adalah mengarut.
“Dasar ralat bayar untuk semua harus dihentikan. Institusi memandu tidak seharusnya menahan lesen L sekiranya pelajar gagal membayar yuran kursus.
“Ketiadaan carta alir untuk rujukan pelanggan menyukarkan untuk memahami prosedur operasi standard institut pemanduan. Diskriminasi serta penipuan pembayaran akan mudah berlaku,” katanya.
Oleh itu, MTUC mencadangkan agar ujian, termasuk ujian komputer dan pemanduan diuruskan sepenuhnya oleh JPJ manakala institusi pemanduan hanya terhad untuk menjadi penyedia latihan. – New Straits Times