BuletinModifikasi

MERCEDES 6X6? BUKAN. INI IALAH HASIL MODIFIKASI SUZUKI JIMNY DARI PELAJAR KOLEJ JEPUN!

Sejak 15 tahun lepas, hampir setiap tahun saya akan ke Jepun pada Januari untuk menyaksikan pameran berprestij Tokyo Auto Salon. Ia sebuah pameran automotif aftermarket terbesar di dunia yang menampilkan pelbagai aksesori, peralatan aftermarket dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi tempat pengeluar memperkenalkan model-model edisi khusus dan souped-up mereka.

Salah satu peserta yang tidak pernah ketinggalan menyertai pameran tersebut ialah NATS atau Nihon Automotive Technology School. Ia sebuah kolej automotif yang menggalakkan pelajarnya berfikir di luar kotak dan selama sekurang-kurang 10 kali saya ke sana, mereka mempamerkan tidak kurang 10 buah kereta berbeza setiap tahun.

BACA: JEEP WRANGLER 6X6 HELLHOG

Ini pula hasil terbaru mereka yang khabarnya akan dipamerkan pada tahun hadapan. Apa yang anda lihat ini adalah objek sebenar tapi jangan terpedaya, ia bukanlah sebuah Mercedes G-63 AMG 6X6 tetapi replika yang dibina dari SUV kecil – Suzuki Jimny. Dalam gambar, ia kelihatan seperti model asal AMG tetapi secara fizikalnya ia jauh lebih kecil.

BAGAIMANA IA DIBINA?

Pelajar-pelajar di NATS telah menggunakan DUA buah Jimny untuk menjadikannya satu unit lengkap G63. Dua buah kereta tersebut dicantum dan menggunakan 2 buah gandar menerusi satu enjin asal – sama konsepnya dengan G63 asal.

Kerja-kerja fabrikasi sangat rumit untuk memadankan sambungan kerangka tambahan pada gandar belakang. Bed liner belakang dibuat secara custom sepenuhnya. Bagi mendapatkan konfigurasi rekaan G63 paling hampir, lampu hadapan, jeriji radiator, lampu belakang dan bumper adalah komponen asli Mercedes.

Tidak seperti bengkel khusus seperti Autoselect yang fokus dengan belanja yang banyak, kolej automotif ini diperuntukkan dengan bajet yang terhad – untuk mencabar pelajarnya supaya menghasilkan yang terbaik. Kos keseluruhan 6X6 jadi-jadian ini hanyalah RM38,000 (1 juta Yen)

SAKSIKAN VIDEO DI BAWAH

 

GALERI – INI HASIL NATS DI AUTO SALON 2013/2014/2015

Google ads
Back to top button