Buletin

MERCEDES-AMG GT KENA ‘BOGEL’ SELEPAS PASANGAN BALIK BERCUTI

Remuk hati seorang penggemar kereta apabila mendapati bahagian-bahagian Mercedes-AMG GT miliknya ditanggalkan kanibal kereta.

Jay Tranter telah meletakkan jentera kesayangan berharga £65,000 (RM350,000) dengan menggunakan khidmat syarikat jumpa dan salam (meet and greet) di Lapangan Terbang Birmingham.

Menurut laporan Birmingham Live, apabila lelaki berusia 36 tahun ini kembali dari bercuti dia mendapati bahagian enjin dan seluruh bonet kereta telah hilang. Bahkan, lampu dan plat kereta turut dikebas.

Tranter berasal dari bandar Hallesowen berdekatan Dudley, West Midlands, berada di luar negara selama lima hari bersama pasangannya, Agne Kinduryte.

Pengarah Urusan West Midlands Summer Houses itu berkata dia mendapati kereta berkenaan telah ditanggalkan ketika kembali dari bercuti pada 12 Julai lalu.

Dia memberitahu kerosakan itu dianggarkan mencecah sehingga £20,000 (RM107,000) dan bimbang tidak mampu membayar premium insurans.

Tranter membayar sebanyak £52.94 (RM285) mendapatkan perkhidmatan letak kenderaan tersebut pada awal pagi 8 Julai.

Dalam laman web syarikat berkenaan, ia memaklumkan kawasan parkir berpagar tersebut dikawal 24 jam.

Tranter mendakwa sistem penjejak keretanya menunjukkan ia dibawa ke lokasi lain beberapa kilometer dari Lapangan Terbang selepas menyerahkan kunci.

“Ini merupakan kenderaan ketiga yang saya miliki berdepan masalah. Bahkan, tidak pasti akan dapat membeli kereta baharu memandangkan saya tidak mampu membayar premium insurans.

“Saya juga tidak pasti mahu menyimpan kereta ini kerana ia sudah terdedah dan kemungkinan sistem elektrik mengalami kerosakan,” kata Tranter. – dailystar

Google ads
Back to top button