Buletin

MBM CATAT LONJAKAN JUALAN PADA Q1 2015

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memulakan tahun 2015 dengan positif apabila mencatat jualan 1,886 unit atau peningkatan sebanyak 13 peratus dalam suku pertama (Q1) tahun ini  berbanding tempoh sama tahun lalu.

SONY DSC

Jualan kereta penumpang Mercedes-Benz melonjak pada Mac dengan 967 unit, naik 53 peratus.

Menurut MBM, jualan yang terbaik dalam tempoh 12 tahun MBM beroperasi di Malaysia itu tiada kena mengena dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu.

Mercedes-Benz-E-300-Bluetec-Hybrid-mekanika (10)

Sebaliknya, momentum positif tersebut dipacu oleh kejayaan model E300 BlueTEC Hybrid yang diperkenalkan ke pasaran tempatan pada Januari 2015. Dari Januari hingga Mac 2015, 638 unit E300 BlueTEC Hybrid berjaya dijual.

Jumlah jualan turut disumbang oleh maklum balas positif terhadap model S400L Hybrid apabila 270 unit sudah terjual. Ia merupakan peningkatan sebanyak 980 peratus berbanding suku pertama 2014.

SONY DSC

“Jualan positif model-model hibrid menjadi bukti kepada hasil pelaburan kami dalam usaha membantu Malaysia mencapai aspirasi kenderaan cekap tenaga (EEV) serta  melakar kejayaan pada masa depan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Esekutif MBM, Ronald Folger.

Satu lagi faktor penyumbang peningkatan jualan yang ketara ialah tawaran model kompak generasi baharu (NGCC). Menerusi pengenalan model NGCC seperti A-Class, CLA dan GLA-Class, unit yang telah didaftarkan mencecah 418 dalam Q1, naik 33 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.  

mercedes-benz-Q1-mekanika (6)

Dalam perkembangan sama, Naib Presiden Kereta Penumpang Mercedes-Benz, Mark Raine memberitahu, dengan pelancaran CLS400 dan beberapa model baharu yang bakal dilancarkan pada tahun ini, pihaknya yakin dapat mengukuhkan lagi kedudukan dalam pasaran kenderaan mewah di Malaysia.

“Antara model menarik yang akan diperkenalkan pada hujung tahun ini ialah jentera sports Mercedes-AMG GT,” kata Raine sambil tersenyum.  

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button