Buletin

MERCEDES-BENZ MALAYSIA LANCAR DUA MODEL SUV SIRI GLE SERTA DUA VARIAN GLC COUPE – HARGA BERMULA RM425K

Selain Mercedes-AMG SL63 4MATIC+ dan Mercedes-AMG G63 versi facelift 2024, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut melancarkan dua model SUV mewah baharu dalam siri GLE serta dua varian GLC Coupé serba canggih.

Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+ dan Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+ Coupé

MBM mempersembahkan Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+ dan Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+ Coupé, yang menawarkan prestasi luar biasa dengan rekaan mewah.

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin V8 biturbo AMG 4.0 liter yang menghasilkan 612hp, membolehkan pecutan dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 3.9 saat.

Prestasi ini dipertingkatkan dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ yang boleh disesuaikan, dan suspensi udara AMG RIDE CONTROL+.

Bahagian luar model ini ditonjolkan dengan lampu MULTIBEAM LED dan AMG Night Package, sementara bahagian dalamnya dilengkapi dengan tempat duduk kulit Nappa Eksklusif AMG, stereng AMG Performance dengan kemasan karbon-fiber, serta sistem audio Burmester® surround.

Harga untuk Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+ adalah RM1,191,888, manakala varian Coupé dijual pada harga RM1,229,888, kedua-duanya atas jalan tanpa insurans.

Mercedes-Benz GLC 350 e 4MATIC Coupé dan Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé

Selain daripada model GLE, MBM turut melancarkan dua varian GLC Coupé serba mewah.

Mercedes-Benz GLC 350 e 4MATIC Coupé hadir sebagai model plug-in hybrid (PHEV) yang menawarkan jarak pemanduan elektrik lebih 100km (mengikut standard WLTP).

Rekaannya bergaya sporty dengan siluet khas GLC Coupé, ditambah dengan roda aloi AMG 20-inci serta bumbung suria panoramik.

Manakala, Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé pula menawarkan prestasi lebih dinamik dengan enjin 2.0 liter empat silinder AMG yang menghasilkan 421hp, dengan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.8 saat.

SUV ini menampilkan roda aloi AMG Y-spoke 21-inci, stereng AMG dengan kemasan karbon-fiber, serta sistem pencahayaan ambien yang menambah aura mewah dalam kabinnya.

Harga untuk Mercedes-AMG GLC 43 Coupé bermula dari RM498,888, sementara harga bagi GLC 350e Coupé PHEV bermula RM425,888, juga atas jalan tanpa insurans.

GALERI:

Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+:

Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+ Coupé

Mercedes-Benz GLC 350 e 4MATIC Coupé

Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé

Google ads
Back to top button