
MERCEDES DISAMAN KERANA REKAAN PINTU SOFT-CLOSE MAMPU PUTUSKAN JARI PEMILIK
Seorang pemilik SUV GLE 450 2020 telah mengemukakan tindakan undang-undang terhadap Mercedes berhubung ciri pintu soft-close yang mampu mendatangkan kecederaan, malah menyifatkan ciri canggih tersebut sebagai ‘gilotin’ (alat pemancung kepala) moden.
Menurut laporan daripada Car Complaints, pemilik Richard Kastigar dikatakan kehilangan sebahagian daripada ibu jarinya apabila pintu soft-close SUV miliknya tertutup secara tiba-tiba.
Ketika kejadian, tangan kanan mangsa dilaporkan berada berdekatan dengan tiang B dan ibu jarinya pula berada di dalam kolum pintu ketika pintu GLE tersebut tertutup tanpa disedari.
Biarpun Kastigar telah menjalani pembedahan kecemasan, sudah terlalu lewat bagi pihak hospital untuk memulihkan semula kecederaan yang berlaku.

Kastigar turut mendakwa beliau akan kehilangan sekurang-kurangnya $500,000 (RM2.095 juta) mata pencarian akibat kecederaan tersebut dan memohon Mercedes untuk membayar pampasan disebabkan kegagalan mereka untuk memberikan amaran kepada para pemilik berhubung risiko yang bakal dialami ketika menggunakan ciri pintu tersebut.
Sebagai makluman, ciri pintu soft-close pada GLE 450 ditawarkan sebagai satu opsyen berharga $550 dan dalam buku panduan manual, ciri tersebut tidak disebut secara langsung.
Walau bagaimanapun, di dalam buku manual tersebut berulang kali Mercedes memberikan amaran berhubung operasi pintu tailgate automatik yang mampu memberikan kecederaan kepada anggota badan, dan pemilik perlu memastikan anggota badan tidak berada di kawasan tersebut semasa operasi menutup pintu tailgate dibuat, serta tidak ketinggalan ketika menggunakan operasi tingkap dan bumbung suria.
Sumber: Car Complaints




