Buletin

REKAAN RUANG KABIN ACURA INTEGRA 2023 TERDEDAH

Sejak Acura Integra 2023 diperkenalkan kepada umum pada tahun lalu, Acura masih lagi menyembunyikan rekaan ruang kabin dengan sengaja menggelapkan kesemua bahagian tingkap kereta tersebut.

Namun, kini anda boleh melihat dengan lebih jelas penawaran pada ruang kabin Integra 2023, terima kasih kepada gambar yang diperoleh daripada IntegraForums.

Berdasarkan pengamatan, Acura Integra 2023 masih dilihat membawakan susun atur papan pemuka yang hampir serupa dengan Honda Civic generasi baharu.

Namun, sedikit perubahan dikesan di mana Acura Integra tidak menampilkan corong pendingin hawa palsu yang memanjang (masih lagi guna jeriji sarang lebah), serta sistem infotainmen yang dilihat jauh lebih premium berbanding Honda Civic.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Acura Integra sememangnya dibangunkan menggunakan pelantar Civic baharu, serta bakal dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo yang berupaya menjana 200 hp dan 260 Nm, sama seperti penawaran Civic Si.

Yang paling penting, Acura Integra 2023 menampilkan tombol gear manual yang mampu mengujakan para peminatnya apabila ia dilancarkan secara rasmi kelak.

Sumber: IntegraForums

Google ads
Back to top button