
MG CYBERSTER RWD DIPERKENALKAN – JARAK GERAK 508KM, HARGA BERMULA RM299K
MG Motor Malaysia secara rasmi memperkenalkan varian terbaru bagi barisan model elektriknya, MG Cyberster RWD, sebuah roadster dua pintu serba elektrik yang hadir dengan reka bentuk futuristik dan pintu jenis scissor.
Dengan harga permulaan RM299,900, model ini membuka lebih banyak peluang kepada peminat automotif tempatan untuk memiliki sebuah kereta sport elektrik yang unik dan berprestasi tinggi.
Model pacuan roda belakang ini digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 340PS dan 475Nm tork, membolehkannya memecut dari sifar ke 100km/j dalam sekitar 5 saat.
Ia dilengkapi dengan bateri 77kWh yang mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 508km bagi setiap cas penuh. Sistem pengecasan pantas DC membolehkan bateri dicas dari 10% ke 80% dalam masa 38 minit sahaja.

Cyberster RWD ini tampil garang dengan rim aloi 19-inci, sistem brek Brembo untuk kawalan cengkaman maksimum serta casis rendah yang direka bagi mengekalkan kestabilan optimum.
Dari segi estetik, ia hadir dengan garisan badan aerodinamik, lampu belakang LED berbentuk anak panah, dan rekaan belakang gaya Kammback.
Masuk ke ruang dalaman, ia hadir dengan suasana kabin bertema perlumbaan, lengkap dengan kemasan kulit dan Alcantara, serta tempat duduk dengan sokongan lumbar yang lebih selesa.
Papan pemuka digital menampilkan tiga paparan utama – skrin pemandu 10.25-inci, dua paparan sisi 7-inci dan skrin infotainmen tengah juga bersaiz 7-inci, memberikan kawalan intuitif untuk pemanduan harian.

Cyberster dibina sepenuhnya sebagai EV tulen dengan bateri ultra-nipis yang diletakkan secara mendatar, menjimatkan ruang dalaman dan merendahkan pusat graviti demi pengendalian yang lebih responsif.
Teknologi pengurusan haba canggih turut digunakan untuk mengurangkan risiko pemuaian sel bateri, seterusnya meningkatkan keselamatan dan ketahanan jangka panjang.
Empat pilihan warna ditawarkan – Dynamic Red, Camden Grey, Inca Yellow dan English White. Dynamic Red dan Camden Grey hadir dengan dalaman merah hitam, manakala Inca Yellow serta English White dipadankan dengan dalaman kelabu.
Pilihan bumbung kain merah turut disediakan dengan tambahan kos sebanyak RM2,000, bagi mereka yang inginkan sentuhan lebih menonjol.
Waranti dan Pakej Pemilikan:
- Waranti kenderaan selama 7 tahun/150,000km
- Waranti bateri voltan tinggi 8 tahun/180,000km
- Waranti motor dan unit kawalan 8 tahun/160,000km
- Pengecasan tanpa had selama 1 tahun melalui JomCharge, lengkap dengan fungsi AutoCharge
- Pengecas AC Wallbox 7kW percuma
MG Cyberster RWD dan versi pacuan semua roda (4WD, RM319,900) akan dipamerkan kepada umum melalui acara jelajah “Dare to Love” di 1 Utama (Old Wing) dari 9 hingga 13 Julai 2025, antara jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pengunjung yang membuat tempahan semasa acara akan menerima pakej pengecasan JomCharge percuma setahun, Wallbox pengecas AC 7kW tanpa caj tambahan, serta model diecast eksklusif MG Cyberster edisi terhad.
Dalam acara sama, MG turut mempamerkan model popular lain termasuk MG5, MG4, MG HS serta menawarkan sesi pandu uji.
Menariknya, MG S5 EV ditawarkan pada harga promosi bermula dari RM109,900, termasuk penjimatan pelancaran sebanyak RM6,000 bagi pembeli awal.
GALERI:

















