
LEAPMOTOR CATAT REKOD JUALAN TERBAIK, DINOBATKAN SEBAGAI ‘START-UP’ NEV NO.1 DI CHINA
Leapmotor terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran kenderaan elektrik apabila muncul sebagai syarikat pemula (start-up) Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) paling laris di China untuk bulan Jun 2025 dan bagi separuh pertama tahun ini.
Pada Jun sahaja, Leapmotor berjaya menghantar sebanyak 48,006 unit, melonjak 138 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kadar pertumbuhan ini menyambung rentetan peningkatan selama enam bulan berturut-turut, bermula daripada 25,170 unit pada Januari, mewakili kenaikan 91 peratus dalam tempoh setengah tahun.
Secara keseluruhan, jumlah jualan bagi Januari hingga Jun 2025 telah mencapai 221,664 unit, menjadikan Leapmotor pendahulu mutlak dalam kalangan syarikat NEV baharu di China, mengatasi pesaing lain yang sebelum ini mendominasi pasaran.

Kejayaan ini adalah lanjutan daripada prestasi cemerlang pada tahun 2024 di mana Leapmotor mencatat penghantaran sebanyak 293,724 unit, hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Momentum berterusan ini telah mengubah kedudukan Leapmotor daripada pesaing utama kepada peneraju pasaran.
LEAPMOTOR C10 2025 KINI DITAWARKAN DI MALAYSIA BERMULA RM125,000
Pengguna di Malaysia kini berpeluang merasai pengalaman memandu model baharu Leapmotor C10 yang telah ditambah baik, ditawarkan pada harga bermula sekitar RM125,000.
Model ini membawa ciri-ciri segmen-D pada harga mampu milik dalam kategori segmen-C.
Antara penambahbaikan utama termasuk ‘frunk’ 32 liter di bahagian hadapan serta penutup ruang kargo belakang bagi meningkatkan aspek praktikaliti dan keselamatan barangan.
Di samping itu, pengecas dalaman (OBC) kini dinaik taraf kepada 11kW berbanding sebelumnya 6.6kW, membolehkan pengecasan 30% hingga 80% dipendekkan daripada 6 jam kepada hanya 4 jam.
Turut dilengkapi kini ialah sistem Pemantauan Tekanan Tayar Langsung (TPMS) dan kit pam angin bermotor untuk kemudahan pengguna.
Dari segi estetik dalaman, C10 kini hadir dengan pilihan fabrik baharu. Varian berwarna Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey kini menampilkan interior Hitam, menggantikan Midnight Aurora.
Warna luaran Glazed Green pula digandingkan dengan interior Camel Brown, menggantikan Criollo Brown sebelum ini.
Semua tempat duduk menggunakan material tekstil silikon mesra bayi yang diperakui OEKO-Tex Standard 100®.
Untuk ketenangan pengguna, Leapmotor C10 hadir dengan jaminan 6 tahun atau 150,000km (mana-mana yang terdahulu) serta jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000km.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman rasmi: www.leapmotor-international.com.my







