
RIMBA RAID 2025 KINI DALAM SIASATAN – MAM
Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) memaklumkan bahawa penganjuran Rimba Raid X Lenggong 2025 yang berlangsung pada 26 hingga 29 Jun lalu kini dalam siasatan.
Menurut MAM dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa siasatan itu dibuat selepas pihaknya menerima beberapa dakwaan kemungkinan pelanggaran peraturan dalam penganjuran acara tersebut.

“Selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan Pertandingan Kebangsaan (NCR), satu siasatan awal telah dimulakan dan proses tatatertib yang sewajarnya kini sedang dijalankan.
“MAM sedang meniliti semua dokumen, bukti serta laporan berkaitan dan siasatan ini akan dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan mengikut prosedur ditetapkan,” jelas MAM dalam satu kenyataan media diterbikan hari ini.
Rimba Raid telah pun memasuki tahun ke-10 penganjuran dan acara sukan off-road motosikal itu merupakan yang terbesar di Malaysia dan melibatkan pelumba tempatan dan antarabangsa.







