
TIADA LAGI SPEEDHUNTERS?: APA YANG TERJADI KEPADA LAMAN KULTUS PEMINAT KERETA?
Satu era dalam budaya automotif digital tampaknya telah sampai ke penghujungnya. Speedhunters, laman web yang pernah menjadi rujukan utama untuk pencinta kereta dari seluruh dunia, kini senyap tanpa khabar berita.
Tiada kemas kini artikel sejak awal April, gedung atas talian sunyi sepi, dan akaun Instagram mereka memaparkan gambar profil serba hitam tanpa sebarang hantaran baharu sejak Mac. Tanda-tanda itu cukup untuk menimbulkan persoalan besar: adakah Speedhunters sudah ditutup?
Seorang sumber yang dekat dengan projek ini mendakwa operasinya telah dihentikan, walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pemiliknya, Electronic Arts (EA).
Di Reddit, pengguna forum r/ShootingCars mula menyedari ketiadaan aktiviti dan membincangkan kemungkinan laman itu sudah ‘mati’. Malah, beberapa bekas penyumbang turut tampil memberikan reaksi.

Paddy McGrath, antara watak penting di sebalik Speedhunters dari 2009 hingga 2021, menzahirkan rasa sedihnya terhadap apa yang berlaku.
Menurutnya, walaupun dia masih disenaraikan sebagai penyumbang, penglibatannya telah lama berkurang. Dia menyifatkan pengalaman bekerja dengan Speedhunters sebagai antara detik paling bermakna dalam kerjayanya.
Katanya lagi, projek ini sering berada di ambang penutupan sejak sedekad lalu. Kelangsungannya bergantung kepada individu-individu gigih yang sanggup berjuang untuk terus menyajikan kandungan kepada peminat.
Namun, dalam syarikat gergasi seperti EA, laman kecil seperti Speedhunters tidak pernah mendapat perhatian sewajarnya, apatah lagi berbanding jenama permainan video bernilai berbilion dolar.

Seiring dengan perpindahan individu asal EA yang pernah menyokong Speedhunters, projek ini perlahan-lahan kehilangan arah. Beberapa nama besar dalam dunia fotografi kereta seperti Larry Chen dan Dino Dalle Carbonare yang dahulu sinonim dengan laman itu juga sudah bergerak ke arah lain. Chen meninggalkan Speedhunters pada 2018 manakala Dino sempat menerbitkan artikel terakhirnya pada Mac tahun ini.
Sejak ia diasaskan oleh Rod Chong pada 2008, Speedhunters pernah menjadi pentas untuk bakat dari seluruh pelosok dunia. Ia juga sempat menjalin kerjasama dengan permainan Need for Speed dan artis seperti A$AP Rocky, bukti pengaruhnya yang melangkaui dunia permotoran.
Kini, nasibnya kekal samar. Mungkin tiada apa-apa lagi selepas ini. Namun para penggerak utama Speedhunters telah pun mencipta laluan baharu. Chen kini aktif menerbitkan buku, menghasilkan kandungan YouTube dan bekerja dengan pelbagai pengeluar automotif, manakala Dino aktif dengan saluran YouTube Dino DC, menampilkan sisi unik dunia kereta Jepun.
Kalau benar inilah pengakhiran buat Speedhunters, biarlah ia dikenang dengan penuh hormat. Ia memberi sumbangan besar dalam mendokumentasi budaya automotif global seperti tiada yang lain.
Dan walaupun EA mungkin tidak melihat nilainya, komuniti kereta seluruh dunia tahu betapa besarnya warisan yang ditinggalkan.
- BACA: MG CYBERSTER RWD DIPERKENALKAN – JARAK GERAK 508KM, HARGA BERMULA RM299K
- BACA: HELMET GIVI M37.0 GRANDE TIBA DI PENGEDAR
- BACA: LEAPMOTOR CATAT REKOD JUALAN TERBAIK, DINOBATKAN SEBAGAI ‘START-UP’ NEV NO.1 DI CHINA
- BACA: RIMBA RAID 2025 KINI DALAM SIASATAN – MAM


