Buletin

MG3 HYBRID+ DIPERKENAL, 1.5L HIBRID, 3 KELAJUAN AUTOMATIK, PACUAN ELEKTRIK

MG3 atau MG3 SW generasi pertama dikeluarkan di China dari 2008 hingga 2011. Generasi kedua menyusul pada tahun yang sama dan dikeluarkan di China, United Kingdom dan menariknya di Thailand.

Cukup kitaran hayat produk, MG baru sahaja memperkenal MG3 generasi ketiga dan menggunakan rangkaian kuasa Hybrid+ baharu.

MG3 direka di studio MG Shanghai dan model baharu sepenuhnya dan lebih panjang, lebar dan luas berbanding model sebelum ini.

MG3 berukuran panjang 4,113 milimeter (mm), lebar 1,797 mm, tinggi 1,502 mm dan jarak roda 2,570 mm. But barangan mempunyai ruang 293 liter. Berat kereta ialah 1,298 kilogram.

Teknologi rangkaian kuasa Hybrid+ pada MG3 adalah yang pertama dan sistem hibrid konvensional bukan plug-in pertama digunakan di dalam kenderaan MG.

Terdapat lima perkakasan utama pada rangkaian kuasa Hybrid+ iaitu enjin, transmisi, bateri, motor elektrik dan penjana (generator).

MG memaklumkan rangkaian kuasa Hybrid+ meletakkan MG3 sebagai model hibrid segmen B paling pantas memecut di dalam kelasnya.

Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan lapan saat. Pecutan dari 80 sehingga 120 km/j pula perlu lima saat.

Enjin 1.5 liter petrol kitaran Atkison menghasilkan 100.5 kuasa kuda (hp) dan digabung bersama motor elektrik 100 kilowatt (kW) dan motor penjana berasingan.

Enjin itu mempunyai kadar kecekapan terma 41 peratus.

Gabungan enjin petrol dan perkakasan elektrik menghasilkan 143 kW (191.7 hp) dan dibantu bateri 1.83 kilowatt-jam (kWj) yang membolehkannya dipandu menggunakan mod elektrik.

MG3 mempunyai pelbagai mod pacuan dan dipilih secara automatik oleh sistem Hybrid+.

  • EV: Menggunakan kuasa elektrik selagi tersedia
  • Series: Enjin membekal kuasa kepada penjana yang menguasakan motor elektrik untuk pemanduan
  • Series dan Charge: Beroperasi di dalam mod Series dan menambah kuasa kepada bateri semasa bebanan rendah
  • Drive dan Charge: Enjin memacu roda dan mengecas bateri melalui penjana
  • Parallel: Kedua-dua enjin dan motor elektrik memacu roda

Berbekalkan motor yang berkuasa, kebanyakan pemanduan bebanan tinggi sebagai contoh memecut boleh memanfaatkan kuasa elektrik.

Enjin petrol membantu atau mengambil alih pada kelajuan lebih tinggi. Enjin itu dipadan bersama transmisi automatik tiga kelajuan.

Selain mod pacuan automatik, MG3 mempunyai tiga mod pemanduan yang boleh dipilih pemandu iaitu Eco, Standard dan Sport.

Memandangkan MG3 boleh dipandu menggunakan kuasa elektrik, para jurutera menumpukan perhatian pada cagak enjin dan ampaian, bahan penyerap bunyi dan reka bentuk transmisi.

Tujuannya bagi mengurangkan bunyi, gegaran dan kekakasaran untuk memberikan pengalaman pemanduan yang baik.

Pada bahagian dalam, MG3 dilengkapi dua skrin dengan saiz tujuh inci untuk pemandu dan 10.25 inci bagi sistem maklumat hibur.

Navigasi satelit dan sambungan Apple CarPlay/Android Auto dijadikan ciri asas. Seperti kelaziman kenderaan sekarang, MG3 dilengkapi Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS).

Google ads
Back to top button