MG5 – CUMA RM87K. BOLEH KE KACAU CITY, VIOS DAN S70?
Bagi orang lama seperti saya dan kebanyakan pembaca Mekanika, MG atau nama panjangnya Morris Garages bukanlah jenama automotif yang terlalu asing. Malah, Mg pernah berada di Malaysia pada era 1960-an lalu sebelum perlahan-lahan hilang dari pasaran.
Tahun ini, MG yang mula ditubuhkan di England pada tahun 1924 sudah menginjak usia 100 tahun. Cukup dikenali sebagai jentera yang berorientasikan kepada perlumbaan, MG telah melalui banyak jatuh bangun dalam industri automotif. Biarpun begitu, ia dilihat semakin maju selepas dibeli oleh SAIC Motor dari China pada tahun 2007.
Di pasaran tempatan, kenderaan MG dipasarkan oleh SAIC Motor Malaysia Sdn. Bhd. Pengenalan jenama itu dimulakan menerusi rangkaian model elektrik sepenuhnya (EV) iaitu MG ZS EV dan MG4 dan pada Mac lalu. Bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, SAIC Motor Malaysia memperkenalkan pula sedan MG5 pada Oktober 2024.
MG sedar, sebagai pencabar baharu dalam pasaran sedan segmen B yang dikuasai oleh model-model seperti Honda City, Toyota Vios dan terbaharu Proton S70, MG5 perlu tampil dengan kelebihan tersendiri untuk menarik minat para pembeli.
Baru-baru ini, Mekanika berpeluang menyertai sesi pandu uji MG5 selama dua hari satu malam yang melibatkan perjalanan hampir 800km bermula dari Kuala Lumpur ke Desaru, Johor dan kembali semula ke ibu kota keesokan harinya.
Dari segi penampilan, sedan yang diimport sepenuhnya dari Thailand itu nyata menyerlah dengan rekaan gril radiator besar yang diberi nama 3D Burning Grille berwarna hitam serta diapit oleh sepasang lampu utama LED jenis projektor nipis automatik.
Melihat dari arah sisi, penampilan sedan dengan gayaan fastback coupe itu semakin menarik menerusi garis badan berotot pada bahagian atas roda belakang dan penggunaan rim Tomahawk dua tona bersaiz 17 inci.
Dibalut oleh tayar Maxxis Premitra 5, kualiti pengendalian dan kesenyapan kabin masih agak memuaskan dan hampir setara dengan mana-mana pesaingnya di pasaran.
Rekaan sporty itu diteruskan pada bahagian belakang dengan ducktail spoiler, tiga jalur lampu LED 3D, kemasan sepasang tip ekzos (hiasan semata-mata) dan air diffuser di bawah bampar. Harus tahu juga bahawa walaupun MG5 dikategorikan sebagai sedan segmen B, jarak roda dan keseluruhan dimensi hampir menyamai sedan segmen C seperti Honda Civic dan Toyota Altis.
Masuk ke ruang kabin, pemandu disambut oleh rekaan papan pemuka yang ringkas tetapi tidak nampak murah. Ini banyak dibantu oleh penggunaan beberapa material berbeza pada bahagian atas papan pemuka, corong pendingin hawa, butang kawalan, panel pintu, stereng dan tombol gear.
MG berjaya membuatkan penggunaan semua material itu kelihatan dan rasa harmoni tanpa ada rasa pelik ketika berada di dalam kabin sedan ini. Biarpun anda tidak menjumpai material lembut pada mana-mana permukaan sentuhan dalam kabin tersebut. Urusan untuk mendapatkan posisi pemanduan terbaik juga lebih mudah dengan tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektrik.
Untuk memberikan rasa pemanduan yang lebih sporty, papan pemuka dan skrin infotainmen diposisikan ke arah pemandu.
Cuma, saya fikir skrin bersaiz 10.25 inci tu agak kecil, manakala kualiti visual, kamera 360 darjah serta respons skrin pula seharusnya lebih baik. Nasib baik ia didatangkan dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto yang perlu disambung menggunakan wayar, jadi kuranglah sedikit rasa kecewa.
Kekurangan tersebut bagaimanapun ditimbal semula dengan paparan LCD Virtual Cockpit yang memaparkan pelbagai maklumat pemanduan. Antaranya ialah G force dan catatan masa pecutan 0-100km/j. Dah macam kereta racing…
Bagi membuatkan MG5 lebih up-market berbanding pesaingnya, jentera itu dipasang dengan bumbung suria sebagai satu ciri standard.
Beralih ke tempat duduk belakang, dimensinya yang hampir menyamai sedan segmen C nyata memberi kelebihan terutama pada kelegaan kaki dan bahu. Memandangkan sedan itu mengaplikasan rekaan coupe, ruang kepala bagaimanapun sedikit terhad dan mungkin boleh membuatkan penumpang yang tinggi rasa kurang selesa untuk menempuh perjalanan jauh.
Lantai yang hampir rata membolehkan penumpang di di kerusi tengah boleh duduk dengan mudah. Konsol tengah dengan satu corong udara dan satu slot USB-A pula mungkin membuatkan penumpang belakang terpaksa berebut untuk menyejukkan badan serta mengecas peranti pintar masing-masing.
Penyandar badan untuk penumpang belakang juga tidak didatangkan dengan perehat tangan atau tempat meletak minuman. Jadi, anda terpaksa berdamai dengan meletakkan botol minuman pada poket di belakang penyandar kerusi hadapan atau pada peket pintu.
Sekarang, jom pandu MG5 ke Desaru. MG5 menggunakan khidmat enjin empat silinder DOHC aspirasi biasa (NA) yang mampu menjana kuasa sehingga 114PS dan tork maksimum 150Nm. Dipadankan dengan kotak gear CVT 8 kelajuan, kuasa berkenaan disalurkan ke roda hadapan. Saya kena akui bahawa kereta itu berasa sedikit berat terutama ketika hendak memulakan perjalanan dan memotong kenderaan lain.
Namun, apabila ia sudah mendapat momentum, MG5 menawarkan pemanduan yang cukup mengujakan terutama jika anda menggunakan mode Sport. Cuma, penukaran kedudukan gear perlu diserahkan sepenuhnya kepada sistemnya kerana MG5 tidak didatangkan dengan paddle shifter.
Tetapi kalau rajin, anda boleh sahaja menukar kedudukan gear secara manual menggunakan tombol gear. Dari segi pengendalian dan keselesaan, MG5 dipasang dengan tetapan suspensi jenis topang MacPherson di depan dan torsion beam pada roda belakang. Kombinasi tersebut masih boleh dikatakan agak bagus kerana tidak membuatkan sedan itu beroleng seperti sampan apabila melalui jalan yang tidak rata.
Untuk makluman, MG5 turut hadir dengan enjin 1.5 liter turbo di pasaran lain. Saya yakin, padanan enjin turbo itu akan memberikan pengalaman pemanduan yang lebih menarik. Jadi, adakah enjin berkenaan akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia? Mungkin, sama-samalah kita tunggu.
Walaupun mempunyai badan yang lebih besar dan berat, MG5 masih mampu memberikan penggunaan bahan api yang agak baik. Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dengan pemanduan lebih relaks dan santai, bahan api yang dicatatkan adalah sekitar 7.5 hingga 8 liter bagi setiap 100km. Ok lah tu kan? Hasilnya, kami berjaya tiba di Kuala Lumpur dengan minyak masih berbaki separuh di dalam tangki.
Di pasaran Malaysia, MG5 hanya ditawarkan dalam satu varian pada harga RM93,900 dan selepas ditolak dengan rebat sebanyak RM7,000 harganya kini menjadi RM86,900 seunit.
Harus diakui bahawa harga tersebut cukup menarik untuk menggodakan bakal pembeli. Cuma, untuk menggugat status quo yang sudah sekian lama dipegang oleh Honda City dan Toyota Vios bukanlah satu tugas yang mudah, tetapi tidaklah mustahil.
- BACA: MG5 RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA – JANA 114PS, HARGA BERMULA RM86K
- BACA: MG HS DIPERKENALKAN UNTUK PASARAN TEMPATAN: DUA VARIAN, JANA 162PS, HARGA BAWAH RM130K
- BACA: MG4 RASMI DILANCARKAN, TAWAR TIGA VARIAN – JANA 435PS, JARAK GERAK 384KM HARGA BERMULA RM103K
- BACA:
GALERI