Buletin

MGS5 EV JADI MODEL CKD PERTAMA SAIC MOTOR MALAYSIA MULAI 2026

SAIC Motor Malaysia hari ini mengumumkan langkah besar dalam memperkukuh kehadiran jenama MG di Malaysia dengan rancangan untuk memulakan pemasangan tempatan (CKD) menjelang separuh pertama tahun 2026.

Projek ini bakal dilaksanakan bersama rakan strategik, EP Manufacturing Berhad (EPMB), di sebuah kemudahan di Melaka, sekaligus menandakan fasa baharu dalam pembangunan industri automotif tenaga hijau tempatan.

Model pertama yang akan dipasang secara tempatan ialah MG S5 EV, SUV elektrik sepenuhnya yang menjadi simbol hala tuju baharu MG ke arah mobiliti mampan.

Pengumuman penting ini dibuat oleh Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, En. Emory QiFeng, di hadapan YBhg. Datuk Dr. Aminar Rashid, Pengerusi MARii, dan YBhg. En. Hamidon Abdullah, Pengerusi Eksekutif EPMB, dalam satu majlis yang turut dihadiri wakil media, pengedar, dan rakan industri utama.

Sejak penubuhannya lebih setahun lalu, SAIC Motor Malaysia telah membina jaringan kukuh dengan 26 pengedar sah MG di seluruh negara, termasuk cawangan di Sabah dan Sarawak.

Barisan model MG di Malaysia kini terdiri daripada lima model, dengan Cyberster, roadster elektrik berprestasi tinggi, mencatatkan kejayaan luar biasa dan menjadikan Malaysia antara pasaran terbaik MG di rantau Asia dan Oceania.

Menurut En. Emory Qi, pemasangan tempatan akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan MG di Malaysia.

“Langkah ini bukan sekadar memperkukuh kehadiran kami, tetapi juga membawa MG lebih dekat kepada pelanggan tempatan. Kami mahu Malaysia menjadi pusat serantau bagi inovasi dan pembangunan kenderaan elektrik.”

Kemudahan baharu di Melaka itu akan menempatkan barisan pemasangan yang mampu mengendalikan pelbagai jenis kenderaan termasuk BEV, HEV, dan model ICE di bawah satu bumbung.

Pendekatan ini sejajar dengan tiga fokus utama SAIC Motor Malaysia, meningkatkan kemampuan milikan, mempercepatkan penghantaran, dan memperkukuh kadar penyetempatan komponen.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif EPMB, YBhg. En. Hamidon Abdullah, menyifatkan projek ini sebagai titik perubahan dalam industri automotif tempatan.

“Kerjasama ini membolehkan kami memainkan peranan aktif dalam membangunkan ekosistem EV negara. Pemasangan MG S5 EV di Melaka bukan sahaja memacu ekonomi tempatan, tetapi turut membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan peluang pekerjaan baharu.”

SAIC Motor Malaysia turut menegaskan bahawa setiap kenderaan yang dipasang akan melalui proses kawalan kualiti ketat di bawah Program Kualiti Global SAIC, bagi memastikan piawaian antarabangsa dikekalkan.

Google ads
Back to top button