Buletin

MINI BAKAL BAWAKAN LEBIH BANYAK KERETA MANUAL UNTUK PASARAN AMERIKA SYARIKAT

Sukar untuk kita dapatkan sebuah kereta produksi massa yang dipadankan dengan transmisi manual pada masa sekarang. Tengok sahaja pada penawaran Myvi, Alza dan Ativa, serta Axia yang bakal dilancarkan kelak.

Permintaan yang semakin berkurang, serta transmisi auto yang jauh lebih mudah dan cekap menjadi penyumbang kepada kepupusan kotak gear manual.

Lain pula halnya dengan MINI USA, di mana mereka baru-baru ini menjalankan soal selidik untuk memahami sentimen pelanggan terhadap transmisi manual.

Soal selidik yang dibuat oleh Engine’s Caravan itu mendapati 63 peratus bersetuju untuk belajar skil memandu kereta manual sebagai sebahagian daripada kemahiran hidup yang penting.

Kebanyakan responden juga turut mengakui kenderaan bertransmisi manual adalah lebih seronok untuk dipandu.

Sayang sekali, hanya 24 peratus sahaja yang memiliki kenderaan manual, di mana 49 peratus responden Gen Z dan 42 peratus responden wanita tidak tahu macam mana mahu pandu sebuah kereta manual!

Dalam pada itu, MINI USA bakal melancarkan lebih banyak kereta bertransmisi manual bermula 1 Mac 2023, iaitu Mini Cooper Convertible, Mini Cooper S Convertible, Mini Cooper 4-Door Hardtop dan Mini Cooper S 4-Door Hardtop.

Ini bermakna, MINI USA bakal mempunyai sehingga tujuh buah model manual yang ditawarkan untuk pasaran tersebut.

MINI juga bekerjasama dengan BMW Group Performance Center West di California untuk mengajar generasi muda memandu sebuah kereta manual, selain menawarkan kurikulum pemanduan yang merangkumi asas pemanduan yang sebenar.

Google ads
Back to top button