Buletin

MINI COUNTRYMAN YANG TIDAK LAGI MINI

MINI Malaysia semalam melancarkan MINI Countryman serba baharu. Generasi kedua kenderaan aktiviti sukan (SAV) premium itu hadir dalam dua varian iaitu MINI Cooper Countryman dan MINI Cooper S Countryman. Ia merupakan model paling besar serta versatil dalam sejarah 57 tahun MINI.

“Tahun lalu sahaja, jenama itu menyumbang lebih 900 unit kenderaan kepada prestasi jualan kami. Ia juga merekodkan pertumbuhan lebih 19% berbanding tempoh sama tahun 2015,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun.

Ketua MINI Malaysia, Kidd Yam memberitahu lebih 1,500 unit MINI Countryman generasi sebelum ini telah diserahkan di Malaysia sejak tahun 2011.

Reka bentuk

Saiz MINI Countryman telah bertambah. Jentera itu kini 20 sentimeter lebih panjang dan tiga sentimeter lebih lebar berbanding model terdahulu. Perkadarannya yang tersendiri juga dibina di atas tapak roda 2,670mm. Manakala lebar treknya ialah 1,585mm di hadapan dan 1,587mm di belakang.

Bukan itu sahaja, MINI Countryman buat pertama kalinya dilengkapi lampu utama LED dengan lampu membelok. Dari segi pilihan rim, MINI Countryman dipasang dengan rim aloi ringan bersaiz 18 inci. Manakala MINI Cooper S Countryman didatangkan dengan rim aloi ringan MINI Yours bersaiz 19 inci.

Enjin dengan teknologi MINI TwinPower Turbo.

MINI Countryman kini dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris bersesaran 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi Steptronic enam kelajuan automatik. Rangkaian kuasa ini membolehkannya menjana kuasa 136hp dan tork maksimum 220Nm.

Jentera ini mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa 9.6 saat dengan kelajuan maksimum 200km/j dengan penjimatan bahan api sekitar 6.0 liter bagi setiap 100km.

Sementara MINI Cooper S Countryman pula menggunakan enjin empat silinder bersesaran 2.0 liter yang berupaya menghasilkan kuasa mencecah 192hp dan tork maksimum 280Nm. Ia boleh memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa 7.4 saat dengan kelajuan maksimum 224km/j dengan penjimatan bahan api sekitar 6.5 liter bagi setiap 100km.

Jarang ditemui dalam kelasnya, MINI Cooper S Countryman dilengkapi transmisi automatik lapan kelajuan.

Mode Pemanduan MINI

Talaan pemanduan MINI Countryman boleh dipilih berdasarkan kepada tiga mode: MID, SPORT dan GREEN. Gunakan mode GREEN untuk pemanduan yang santai dan menjimatkan minyak. Tukar kepada mode SPORT untuk pecutan dan pengendalian yang lebih responsif. Untuk merasai kedua-duanya, pilih sahaja mode MID.

MINI Countryman dipasang dengan topang gandar sambungan tunggal pada roda hadapan serta gandar jenis multi-link di belakang. Selain suspensi dan stereng elektromekanikal dengan fungsi Servotronic, turut dipasang ialah brek penuh kuasa serta Dynamic Stability Control (DSC) yang membantu mengelakkan berlakunya masalah over-steer atau under-steer.

Bahagian dalaman

Ruang storan dan kargo juga ditingkatkan untuk memberi lebih versatiliti. Ini termasuklah upholsteri hitam Firework Carbon dengan permukaan dalaman berwarna kelabu (Hazy Grey) dan stereng sport dibalut kulit.

MINI Cooper S Countryman pula menggunakan kemasan dalaman dikenali sebagai MINI Yours Piano Black Illuminated.  Tidak ketinggalan, upholsteri kulit Cross Punch berwarna hitam Carbon Black dan stereng kulit John Cooper Works bersama paddle shifter.

Fungsi dan versatiliti 

Satu ciri baharu yang ditawarkan sebagai ialah pintu belakang automatik (Automatic Tailgate). Ciri itu melibatkan satu alat pengesan yang diaktifkan dengan pergerakan kaki untuk membuka dan menutup pintu belakang tanpa perlu menekan mana-mana butang.

Khas untuk varian MINI Cooper S Countryman, fungsi Automatic Tailgate berfungsi selari dengan ciri Comfort Access yang membolehkan urusan membuka dan mengunci pintu dibuat melalui sentuhan pada pintu.

Buat pertama kalinya, MINI Countryman serba baharu menawarkan tempat duduk Picnic Bench yang boleh dilipat keluar daripada ruang but. Ia membolehkan anda duduk dengan selesa di hujung ruang kargo kenderaan.

MINI Connected menawarkan rangkaian integrasi telefon pintar yang ekstensif pada skrin sentuh beresolusi tinggi bersaiz 6.5”. Kedua-dua varian MINI Countryman juga didatangkan dengan kamera undur sebagai satu ciri standard.

Apabila semua tempat duduk digunakan, ruang kargo ialah 450 liter. Dengan tempat duduk belakang dilipat pada konfigurasi 40:20:40, ruang kargo boleh ditingkatkan sehingga 1,390 liter.

Buat pertama kalinya, MINI Countryman turut diperkenalkan dalam dua warna baru iaitu coklat dan biru (Island Blue). Warna lain yang ditawarkan ialah hijau, merah, putih, perak, hitam dan kelabu. Warna kelabu (Thunder Grey) pula eksklusif untuk MINI Cooper S Countryman.

Orang ramai boleh memandu uji MINI Cooper Countryman dan MINI Cooper S Countryman pada hujung minggu ini, 15 dan 16 April di International Gallery di Alya Kuala Lumpur, Jalan Bukit Kiara, bersebelahan TPC Kuala Lumpur (dulu dikenali sebagai KLGCC).

MINI Countryman serba baharu hadir bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had MINI selama 4 Tahun dan Servis Berjadual Percuma. Anggaran harga (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tidak termasuk insurans) ialah:

MINI Cooper Countryman              –           RM239,888

MINI Cooper S Countryman          –           RM269,888

BACA: RINDU MINI ORIGINAL? IA AKAN KEMBALI (TETAPI DENGAN HARGA MENINGGAL DUNIA)

BACA: MINI SEVEN EDITION – RM253,888 ADA 30 UNIT SAHAJA

GALERI 

Google ads
Back to top button