Buletin

MIROS GESA ORANG RAMAI TIDAK GUNA DUMMY BUCKLE

Orang ramai diseru agar tidak menggunakan aksesori dummy buckle sebagai alat penyah aktif penggera tali pinggang keledar, kerana berisiko menyebabkan ciri keselamatan utama kenderaan tidak berfungsi dengan baik ketika kemalangan.

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), penggunaan aksesori itu berisiko menyebabkan komponen keselamatan kenderaan seperti beg udara tidak berfungsi pada tahap optimum dan tidak mampu melindungi pemandu dan penumpang dalam kemalangan.

Kajian MIROS pada 2020 menunjukkan lebih 12 peratus pemandu kenderaan pernah menggunakan aksesori itu dan jika ia tidak dicegah dari awal, peratusannya akan terus meningkat saban hari.

Prihatin terhadap isu tersebut, MIROS dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah menjalankan usaha kolaboratif bersama dalam menerapkan mesej keselamatan jalan raya melalui satu video pesanan khidmat masyarakat yang memfokuskan kepada isu penyalahgunaan aksesori tali pinggang keledar tiruan atau dummy buckle.

“Dummy buckle dilihat menjadi kegilaan dalam kalangan pemandu kenderaan apabila aksesori ini mudah didapati di kedai serbaneka juga melalui portal jualan dalam talian kerana harganya yang murah.

“Sekiranya kemalangan berlaku, penggunaan dummy buckle boleh mengakibatkan mangsa terkena hentakan kuat pada stereng dan papan pemuka kenderaan atau tercampak keluar daripada kenderaan dan seterusnya boleh menyebabkan kematian,” menurut kenyataan MIROS hari ini.

Video itu boleh ditonton melalui saluran televisyen terpilih serta sosial media MIROS dan Finas selain menerusi pautan https://cloud.miros.gov.my/cloud/index.php/s/TXQKWbzmLdkSbNp- Bernama/SH

Google ads
Back to top button