
TEKNOLOGI LIDAR BANTU KURANGKAN RISIKO PELANGGARAN MOTOSIKAL – MIROS
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) membangunkan teknologi pengesanan Light Detection & Ranging Technology (LIDAR) bagi mengurangkan risiko perlanggaran antara penunggang motosikal dengan kenderaan lain.
Ketua Pengarah MIROS Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata teknologi berkenaan dibangunkan susulan kadar kematian tinggi melibatkan pengguna motosikal.
Jelasnya, teknologi itu berupaya mengesan kenderaan di hadapan dan memberi amaran kepada penunggang untuk mengelak perlanggaran dengan selamat, termasuk pada kelajuan tinggi.
“Amaran perlanggaran diberikan melalui tiga peringkat dan menekankan keupayaan untuk memastikan penunggang menyedari tepat pada masanya mengenai bahaya yang akan berlaku.
“Prinsip utama reka bentuk teknologi ini adalah berimpak tinggi, kos yang rendah, berasaskan pengguna dan mudah dipasang melalui reka bentuk naik taraf,” katanya.
Teknologi berasaskan LIDAR merupakan komponen utama Sistem Bantuan Pemandu Termaju atau Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang telah digunakan secara meluas dalam reka bentuk kenderaan beroda empat.
Sehubungan itu, beliau berkata pendekatan reka bentuk yang digunakan juga diyakini dapat meningkatkan kebolehpasaran teknologi ini untuk digunakan secara meluas dalam kalangan penunggang motosikal di Malaysia dalam masa yang singkat. – Bernama
- BACA: AKSI TERBAIK KEMALANGAN MOTOSIKAL YANG BERJAYA DIELAKKAN
- BACA: SEMPAT RAKAM AKSI DENGAN MOTOSIKAL. INFLUENCER JUTAWAN RUSIA MAUT KEMALANGAN
- BACA: MOTOSIKAL TERBABAS, PENGHANTAR MAKANAN WANITA TUNGGANG YAMAHA R15 MAUT
- BACA: OPS BESAR-BESARAN MOTOSIKAL UBAH SUAI. TIADA KOMPROMI!!! EKZOS MEMEKAK TU BOLEH DAH TUKAR YEE