Motosikal

PASANG BUMBUNG PADA SKUTER SYM VTS 200, LELAKI DISAMAN JPJ

Seorang lelaki disaman oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Batu 9 Lebuhraya Cheras-Kajang kerana memasang bumbung pada skuter SYM VTS 200 miliknya.

Dia yang merupakan seorang pekerja pemasangan memberitahu bumbung itu dipasangnya sendiri untuk mengelak daripada terkena hujan. Bumbung yang sudah berusia setahun itu tersebut dilengkapi penggilap cermin (wiper) di bahagian hadapan.

Lelaki berusia 52 tahun itu mengakui mengeluarkan modal sebanyak RM300 bagi membeli komponen bagi tujuan  membina bumbung berkenaan.

“Bumbung ini saya pasang sendiri sejak tahun lalu kerana mahu mengelak hujan. Walaupun saya tahu tindakan ini salah, namun saya yakin struktur ini kukuh. Sepanjang pasang struktur ini, saya tidak pernah disaman pihak berkuasa. Ini adalah kali pertama,” katanya.  

Dia menjadi antara individu yang disaman dalam Operasi Kesalahan Teknikal (Motosikal) kerana kesalahan mengubah suai struktur asal dengan memasang struktur tambahan tanpa kelulusan. 

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata, seramai 50 pegawai dan anggotanya terbabit dalam operasi itu yang berakhir jam 6.30 petang itu.

Dalam tempoh itu, sebanyak 1,050 motosikal diperiksa dengan 150 motosikal diambil tindakan atas pelbagai kesalahan. Pihak JPJ juga telah mengeluarkan 344 notis atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, nombor pendaftaran fancy, tayar kecil serta ubah suai ekzos. 

Menurut Mohd Zaki, operasi itu dilaksanakan bukan semata-mata untuk mencari kesalahan pengguna, tetapi bertujuan memastikan orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan.

“Pengguna perlu tahu adalah penting bagi mereka untuk mengikut spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan ketika berada di jalan raya.

“Ini termasuklah komponen seperti tayar yang penting untuk kestabilan kenderaan. Jika ia diubah tidak mengikut spesikasi, ia boleh membahayakan nyawa,” katanya. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button