Buletin

MITSUBISHI AIRTREK 2022 – SUV ELEKTRIK UNTUK CHINA SAHAJA

Mitsubishi ‘Airtrek’ yang anda lihat di dalam artikel ini bukanlah 100 peratus SUV buatan Mitsubishi, ia sebenarnya lahir daripada platform SUV elektrik Aion V yang dihasilkan oleh GAC Motors.

Bertempat di Guangzhou Auto Show 2021 di China, Mitsubishi akhirnya mendedahkan dengan lebih terperinci spesifikasi SUV elektrik yang dikhususkan untuk pasaran tersebut.

Dari segi ukuran, Airtrek mempunyai dimensi sepanjang 4,600 mm, lebar 1,910 mm, dan tinggi 1,690 mm di mana secara keseluruhannnya jauh lebih pendek, namun lebih lebar berbanding model Outlander.

Walaupun menggunakan asas daripada model lain, Mitsubishi tetap memberikan identiti mereka yang tersendiri pada SUV Airtrek ini seperti muka depan Dynamic Shield, rekaan lampu utama berkembar, layangan warna dua tona, serta unit lampu belakang berbentuk L.

Untuk pasaran China, Mitsubishi Airtrek menampilkan pek bateri berkapasiti 70 kWh yang membolehkan pemanduan sejauh 520 km mengikut standard Chinese CTLC.

Tiada sebarang angka output didedahkan, namun sebagai rujukan model EV Aion V memiliki kuasa antara 218 hp sehingga 260 hp bergantung kepada spesifikasi.

SUV Airtrek ini mampu memuatkan sehingga lima orang penumpang pada satu-satu masa, dan ruang kabin menempatkan skrin infotainmen jenis terapung, diikuti dengan tombol (mungkin untuk tukar gear) pada konsol tengah.

Mitsubishi Airtrek 2022 dihasilkan oleh GAC Mitsubishi Motors dan akan mula dijual pada tahun hadapan.

Google ads
Back to top button