Buletin

MITSUBISHI PAMER SUV 7-TEMPAT DUDUK ‘DST CONCEPT’ DI FILIPINA – BAKAL LANCAR TAHUN 2025

Mitsubishi Motors baru-baru ini memperkenalkan prototaip SUV baharu tujuh tempat duduk, “DST Concept”, di Philippine International Motor Show yang berlangsung pada 24 Oktober.

SUV ini dirancang untuk memenuhi permintaan pasaran ASEAN bagi model SUV pelbagai penumpang yang semakin popular.

DST Concept dijangka menjadi model baharu berasaskan pacuan roda hadapan, bukannya pengganti kepada Pajero Sport yang terkenal dengan pacuan semua rodanya.

Penampilan DST Concept menampilkan reka bentuk menyerupai model Exforce yang dilancarkan pada 2023, namun ia memiliki bentuk lebih berkotak dan kekemasan “chamfered”, sekali gus menonjolkan kekuatan serta kestabilan.

Dari luar, ia tampil dengan gril hadapan lebih besar daripada model Xforce, bersama bar LED melintang lebih lebar di bahagian hadapan dan sisi kenderaan.

Bahagian sisi kenderaan juga berbeza dari model Xforce, dengan fender tayar hadapan dan belakang yang menonjol serta dilengkapi dengan reka bentuk cermin hitam.

Dari segi ukuran, DST Concept kelihatan lebih besar dari Xforce, dengan jangkaan panjang keseluruhan kira-kira 4.7 meter, bersamaan dengan Pajero Sport sedia ada.

Buat masa ini, Mitsubishi belum mendedahkan reka bentuk dalaman DST Concept sepenuhnya, tetapi konsep meter dan panel kawalan yang rata memberikan gambaran bahawa reka bentuk dalamannya mungkin akan menyerupai model Xforce.

Berdasarkan perancangan “Challenge 2025” Mitsubishi Motors, DST Concept dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada tahun 2025.

Walaupun tidak setangguh Pajero dari segi kebolehan off-road, DST Concept adalah SUV bergaya yang pasti menarik perhatian peminat di ASEAN.

Google ads
Back to top button