Motosikal

YAMAHA TRACER 9 GT+ DINAIK TARAF BAGI 2025 – DENGAN Y-AMT, RADAR CRUISE CONTROL 

Yamaha meneruskan pelancaran model baharu bagi tahun 2025 kali ini menerusi Tracer 9 GT+ yang menerima pelbagai peningkatan termasuk pakej elektronik dan transmisi. 

Untuk pasaran global, Tracer 9 GT+ hadir dengan Y-AMT (Yamaha Automatic Manual Transmission) secara standard (bagaimanapun, transmisi manual masih ditawarkan pada varian Tracer 9 dan Tracer 9 GT). Sistem Y-AMT menyaksikan tiada lagi lever klac sebaliknya digantikan dengan butang khas yang tersedia pada ‘switchgear’ di sebelah kiri. 

Menerusi Y-AMT, penunggang boleh menunggang Tracer 9 GT+ baharu ini secara automatik (twist and go) atau secara manual (tukar gear menggunakan butang khas). 

Meskipun begitu, Tracer 9 GT+ baharu ini kekal dikuasakan enjin CP3 tiga silinder 890cc yang berupaya menjana 117hp dan 93Nm pada 7,000rpm. Menariknya, enjin ini juga mencapai standard Euro5+ terbaru yang lebih ketat. 

Kuasa enjin pula dikawal selia pakej elektronik serba canggih termasuk ‘6-axis IMU’, lima mod menunggang dengan dua mod kustom. Fungsi kesemua ini boleh diubah menerusi butang ‘switchgear’ di handlebar. 

Selain itu, Yamaha mendakwa bahagian ‘swingarm’ dan ‘subframe’ kini lebih ringan dan kukuh agar lebih stabil ketika membawa penumpang. ‘Subframe’ kini 150g lebih ringan berbanding sebelum ini dan 50mm lebih panjang sekaligus menyumbang kepada tempat duduk pembonceng yang lebih luas. 

Bahagian rim juga dipertingkat dan lebih ringan dan kuat dengan penggunaan teknologi Yamaha Spinforged. Rim tersebut dipadankan dengan tayar Bridgestone Battlax T32 secara standard. 

Turut dinaik taraf adalah panel meter TFT berukuran 7-inci baharu. 

Bagi tahun 2025, Tracer 9 GT+ juga menerima muka depan ‘baharu’ dengan kehadiran lampu Matrix LED yang terdiri dari beberapa lampu LED ‘low-beam’ dan ‘high-beam’  yang bersambung dengan kamera. 

Kamera tersebut mengesan pancaran cahaya sekeliling antaranya lampu kenderaan lain lalu menyelaraskan nyalaan mengikut kesesuaian. 

Tracer 9 GT+ 2025 ini juga dilengkapi dengan suspensi KYB semi-aktif yang dinamakan KADS (KYB Actimatic Damper System) yang merupakan sistem suspensi paling canggih pernah dipasang pada mana-mana model Yamaha. 

Sebagai model perdana (flagship), Tracer 9 GT+ juga dilengkapi dengan ‘adaptive cruise control’ serta ‘blind-spot detection’ yang beroperasi dengan bantuan radar. 

Antara perincian lain ditawarkan termasuk:

  • TPMS (sistem pemantauan tekanan tayar)
  • rantai ‘endurance’ DID (lebih lasak dan tahan lama)
  • switchgear dengan nyalaan malam
  • grip pemanas (10-mod)

GALERI: YAMAHA TRACER 9 GT+ 2025

Google ads
Back to top button