
MITSUOKA LANCAR VIEWT STORY. TOYOTA YARIS TAPI RUPA MACAM JAGUAR, BERMULA RM98K
Syarikat penala dari Jepun, Mitsuoka, baru-baru ini melancarkan Viewt baharu berasaskan Toyota Yaris baharu dan bukannya dari Nissan Micra atau March lama.
Diasaskan pada 1993, ini adalah kali pertama Mitsuoka memilih menggunakan Toyota berbanding Nissan sejak tiga dekad lalu. Dari segi rupa, Viewt Story mengekalkan reka bentuk generasi terdahulu, diilhamkan dari Jaguar Mark 2 tahun 1963.
Mitsuoka Viewt baharu berukuran 4,090mm panjang, 1,695mm lebar dan antara 1,500-1,515mm tinggi bergantung pada varian. Ini menjadikannya 70mm lebih panjang berbanding Toyota Yaris generasi keempat.

Di bahagian hadapan, jentera ini dipadankan dengan lampu depan bulat yang diletakkan rapat antara satu sama lain, bampar krom dan gril seperti Jaguar. Terdapat juga jalur krom pada bonet bergaya retro di hadapan hingga ke bahagian pintu.
Selain itu, Mitsuoka menambah set rim krom BAHARU bersaiz 14 inci berserta palet warna yang unik.
Bahagian belakang juga direka semula sepenuhnya dengan gaya hatchback yang kelihatan lebih praktikal bersama lampu belakang LED bulat dan bampar.

Bahagian dalaman diubah suai dengan kemasan berwarna terang pada tempat duduk, papan pemuka dan pintu untuk memberikan nuansa retro, manakala logo Mitsuoka dipasang pada stereng.
Viewt Story didatangkan dengan ciri-ciri seperti yang terdapat pada Yaris, termasuklah infotainmen serta Toyota Safety Sense.
Jentera itu menggunakan platform TNGA-B dengan pilihan rangkaian kuasa Yaris spesifikasi JDM. Justeru, terdapat pilihan antara enjin petrol tiga silinder 1.0 liter dan 1.5 liter serta 1.5 liter hibrid.
Kuasa disalurkan ke hadapan (2WD) atau ke semua empat roda (4WD) melalui transmisi manual enam kelajuan, CVT atau transmisi eCVT bergantung kepada varian.
Jika berminat, Mitsuoka Viewt Story dijual pada harga bermula AS$22,295 (RM98,822) untuk manual 2WD 1.0 liter spesifikasi asas dan AS$31,145 (RM138,050) untuk varian hibrid.

