
MODEL KONSEP TOYOTA FT-Me DIPERKENALKAN. MOBILITI MAMPAN BANDAR MASA HADAPAN
Toyota Motor Europe (TME) telah memperkenalkan sebuah konsep, Toyota FT-Me sebagai visi untuk mobiliti mikro elektrik sepenuhnya yang menggabungkan reka bentuk premium dengan mampu milik.
Model ini diilhamkan oleh kejayaan penyelesaian mobiliti Toyota yang dibangunkan untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2021 dan Paris 2024, FT-Me menyasarkan untuk menangani keperluan penduduk kota yang semakin berkembang dan cabaran persekitaran bandar moden.

Model konsep Toyota FT-Me ini merupakan kenderaan dua tempat duduk yang padat namun luas, berukuran kurang daripada dua setengah meter panjang. Reka bentuknya menekankan kebolehgerakan, dengan hanya memerlukan separuh ruang letak kereta.
Gaya kenderaan konsep ini diilhamkan daripada topi keledar jet, menggabungkan dua warna hitam dan putih yang kontras untuk menyampaikan rasa selamat, keteguhan dan ciri yang ringan mampu bergerak ke mana sahaja.
Toyota FT-Me menawarkan mobiliti yang boleh diakses untuk orang yang mempunyai lesen memandu peringkat permulaan, termasuk mereka yang berumur seawal 14 tahun di sesetengah negara. Fleksibiliti yang dipertingkatkan direka untuk memenuhi keperluan pengguna yang pelbagai, menawarkan pilihan yang boleh disesuaikan untuk golongan anak muda mahu pun golongan profesional dengan konsep keterlihatan 360 darjah yang inovatif memastikan hubungan mata maksimum dengan pengguna jalan raya lain, meningkatkan keselamatan dan kebolehgerakan.

Kenderaan itu juga dilengkapi dengan ciri sambungan termaju, membolehkan penyepaduan lancar dengan telefon pintar untuk kemasukan tanpa kunci dan penyediaan perkhidmatan. FT-Me boleh dipandu semata-mata dengan arahan tangan pada stereng inovatifnya yang juga menjadikannya boleh digunakan untuk pengguna kerusi roda tanpa sebarang pengubahsuaian luaran.
Komitmen Toyota terhadap kemampanan terbukti dalam reka bentuk FT-Me. Model konsep ini memaksimumkan kebolehkitar semula dan menggunakan bahan kitar semula, menyasarkan pengurangan 90% pelepasan karbon berbanding kenderaan bandar hari ini.
Sistem pendorongan cekap Toyota FT-Me menggunakan tenaga tiga kali lebih sedikit setiap kilometer berbanding kereta elektrik bateri berkapasiti tinggi. Selain itu, FT-Me menampilkan teknologi bumbung panel solar termaju yang boleh mengecas bateri utama, dengan berupaya menambah jarak 20 hingga 30 km setiap hari dalam tetapan bandar dengan mudah meliputi penggunaan harian yang dijangkakan, tetapi masih juga bergantung pada cuaca. Kalau dah mendung musim hujan pun tak berguna juga kan.

Tapi setidaknya kalau cuaca cerah dapat mengurangkan kebergantungan untuk mencari tempat mengecas dengan lebih kerap berbanding pengguna kereta elektrik yang lain.
Sebagai sebuah kereta elektrik bandar, sudah pastinya keupayaan bergeraknya tidak sejauh kereta elektrik yang lebih besar. Malah, kelajuan maksimum dengarnya dihadkan hanya setakat 45 km/j sahaja. Cukup sesuai untuk bergerak di sekitar bandar buat pi surau atau pun pi market mahu pun pi pejabat yang dekat dekat. Amacam?
BACA : KLIMS 2024 – DAH TENGOK MODEL KONSEP TOYOTA KAYOIBAKO? MOBILITI DENGAN PELBAGAI FUNGSI