
TERKINI: SYM PERSIAP ADX 400 DAN TTLBT UNTUK PASARAN MALAYSIA
Umum sedia maklum bahawa pasaran motosikal di Malaysia semakin meriah bermula tahun 2025 terutamanya dengan kemasukan beberapa motosikal jenis skuter baharu.
Sejak Januari 2025, beberapa motosikal segmen skuter maxi telah pun diperkenalkan antaranya Zontes 368G, MODA Sporter-S, AVETA Vanguard 250 dan SYM Husky ADV 300.

Terbaru, kami difahamkan SYM akan terus merancakkan lagi segmen skuter maxi di Malaysia menerusi dua model baharu, ADX 400 dan TTLBT 508.
Beberapa media juga akan ke Taiwan sekitar bulan April nanti bagi melihat dengan lebih dekat dua skuter tersebut di samping berpeluang menguji model berkenaan.
Sebelum ini, kami telah pun melaporkan bahawa ADX 400 dan TTLBT 508 telah pun disahkan akan masuk Malaysia. Lebih menarik, ADX 400 akan dijual di Malaysia dengan harga bawah RM31k.
SYM ADX 400

SYM ADX 400 dipacu enjin enjin satu silinder 399cc yang berupaya menghasilkan 35hp dan 37Nm. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi CVT namun menggunakan rantai sebagai pacuan terakhir berbanding tali sawat (belt).
Satu lagi ciri menarik yang menjadikan ADX TG 400 ini unik termasuklah satu-satunya skuter yang mengguna pakai swingarm jenis ‘aluminium’ dengan Sanyang Multilink Suspension. Tak cukup dengan itu, SYM turut memasang ‘handlebar’ boleh laras yang boleh diselaraskan mengikut kesesuaian penunggang.

Pelindung tangan dan penghadang angin tinggi turut disertakan secara standard disamping slot pengecas USB.
Untuk rekod, ADXTG 400 merupakan motosikal pertama SYM yang hadir dengan mod ‘off-road’ yang ditawarkann sistem ABS. Seperti kebiasaan, mod ‘off-road’ ini hanya akan mengaktifkan ABS di tayar depan. Brek mengejut juga akan mengaktifkan lampu brek kecemasan (EBL).
SYM TTLBT 508

SYM TTLBT menggabungkan dua elemen (skuter dan motosikal sport-touring) sekaligus mewujudkan rupa bentuk yang unik terutamanya dengan kehadiran panniers berkapasiti 14.4L dan 13.6L bahagian belakang. Kedua-dua panniers tersebut juga boleh ditinggalkan.
Meskipun menampilkan reka bentuk lain dari yang lain, TTLBT dipacu enjin sama yang ditawarkan pada TL508 dengan unit parallel-twin 508cc yang berupaya menjana 45hp dan 37Nm.

Pakej elektroni paling mencuri tumpuan yang terdiri dari fungsi seperti:
- throttle-by-wire
- cruise control
- dua mod menunggang; Normal dan Rain
- skrin TFT 7-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto
- traction control
- ABS
- MSC
- IMU 6-axis oleh Bosch
Tempat duduk pula menawarkan penyandar belakang dengan tiga tetapan berbeza. Bawah tempat duduk pula menempatkan ruang seluas 37L. Sebagai kemudahan, penghadang angin depan boleh diselaraskan dengan hanya menekan butang tersedia.
Ketika menunggang dalam cuaca sejuk atau hujan, penungganng boleh mengaktifkan fungsi grip pemanas (heated grip) yang juga ditawarkan secara standard.