
KAPCAI 150CC KLAC AUTO DALAM PEMBANGUNAN – MFORCE
MForce Bike Holdings mengesahkan sedang membangunkan sebuah motosikal kapcai 150cc baharu untuk pasaran tempatan.
Pengumuman itu dibuat Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad ketika majlis perasmian MForce Smartshop Kedai Motor Yoon Loi di Pusing, Perak pada Ahad.
Menariknya, kapcai tersebut disahkan akan mengguna pakai sistem klac auto sekaligus bakal memberi saingan pada model popular, Yamaha 135LC.
Buat masa ini, pasaran negara ketiadaan kapcai 150cc dengan klac auto dengan 135LC merupakan model dengan enjin paling besar ditawarkan dengan ciri ini.
Ini bermakna, model dari MForce itu bakal menjadi kapcai 150cc pertama dengan ciri klac auto.
Untuk rekod, Modenas sebelum ini turut memberitahu bahawa Z15GT akan turut mempunyai varian klac auto namun tiada perkembangan lanjut mengenai model itu setakat ini.
Kapcai dengan klac auto popular dikalangan pengguna di Malaysia ekoran motosikal boleh beroperasi tanpa perlu menarik klac.
Perkembangan lanjut mengenai kapcai 150cc dengan klac auto serba baharu ini akan dibawa dari semasa ke semasa.








