MRT LALUAN PUTRAJAYA RASMI BEROPERASI, MAMPU BAWA LEBIH 1,000 PENUMPANG
Pembukaan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya bermula semalam memberi banyak pilihan kepada pengguna untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam.
MRT laluan Putrajaya mampu membawa 1,200 penumpang pada satu-satu masa dan bilangan bilangan tren boleh digunakan oleh penumpang adalah 49 unit dengan setiap tren dilengkapi empat gerabak.
Ketua Pegawai Operasi Laluan MRT Rapid Rail, Mohd Ramli Shafie, berkata waktu operasi MRT2 akan bermula pada jam 6 pagi hingga jam 12 tengah malam.
“Kekerapan tren pada hari Isnin hingga Jumaat adalah selama empat sehingga enam minit pada waktu puncak dan tujuh hingga 10 minit pada waktu bukan puncak,” katanya.
Tambah beliau, kaunter di Stesen MRT2 juga dapat memudahkan urusan golongan orang kurang upaya (OKU).
“Kaunter dibina adalah pada paras yang rendah bagi memudahkan pengguna berkerusi roda untuk berkomunikasi dengan petugas.
“Selain itu, OKU yang menggunakan alat bantuan pendengaran pula boleh menetapkan frekuensi alat mereka untuk boleh berhubung terus dengan petugas di kaunter,” jelas Mohd Ramli Shafie.
Mengenai isu keselamatan, petugas MRT2 boleh mengendalikan tren secara manual melalui konsol pemanduan sekiranya terdapat masalah teknikal.
“Sebagai langkah keselamatan, tren MRT2 ini mempunyai empat unit kerusi roda kecemasan yang boleh digunakan sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.
Untuk rekod, keseluruhan laluan Putrajaya merangkumi 57.7 kilometer terdiri daripada 36 stesen bermula dari Kwasa Damansara ke Putrajaya meliputi kawasan berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya dan Putrajaya. – Berita Harian