Buletin

NENEK 79 TAHUN SAHUT CABARAN PANDU JENTERA F1 RENAULT 

Kisah ini mungkin boleh menjadi inspirasi kepada semua bahawa umur hanyalah angka sahaja. Buktinya, Renault baru-baru ini menjemput seorang bekas pemandu rali berusia 79 tahun untuk menguji jentera F1 terbaharunya.

Lahir pada tahun 1937, wanita kelahiran Ireland ini kelihatan seperti seorang nenek biasa. Tetapi tahukah anda bahawa Rosemary Smith bukanlah nama asing dalam dunia perlumbaan rali?

Smith pada asalnya bekerja sebagai seorang tukang jahit, sebelum salah seorang pelanggan meminta dia menjadi pembantu pemandu dalam satu pertandingan rali. Tidak mahu sekadar mahu menjadi pembantu, Smith sebaliknya belajar berlumba dan memenangi hadiah utama untuk kategori wanita dalam perlumbaan Rali Ireland.

Pada tahun 1965, Smith memenangi Rali Tulip pula. Sejak itu, Smith tidak pernah berpaling ke belakang lagi. Beliau mula menyertai banyak pertandingan rali di seluruh dunia. Dalam tempoh 20 tahun, Smith juga sempat membeli sebuah Renault Clio dan membuka sekolah memandu.

Semua kejayaan ini hasil daripada pendedahan keluarga, terutama bapanya yang mengajar bagaimana untuk memandu ketika Smith baru berusia 11 tahun.

Mahu mencipta kelainan, pasukan Renault Sport Formula One menghubungi Smith dan bertanya sama ada beliau berminat untuk menjadi individu paling tua untuk memandu jentera lumba berkuasa 800bhp. Seperti yang dijangka, Smith menyambut cabaran tersebut.

Pasukan itu membawa Smith ke litar Paul Ricard di Le Castellet, selatan Perancis. Pemandu pasukan, Joylon Palmer ada di sana untuk membantu wanita itu membiasakan diri dengan jentera lumba Renault Sport R.S. 17.

Walaupun memiliki pengalaman berlumba yang cukup luas, Smith mengakui bahawa beliau gementar. Jentera moden F1 sangat berbeza dengan mana-mana kereta di dunia ini. Biarpun begitu, berdasarkan kepada video yang dikongsi oleh pihak Renault Sport, semua nampaknya berjalan lancar.

“Saya tidak pernah terfikir untuk mendapat peluang memandu jentera F1. Ini merupakan satu pengalaman yang hebat. Saya dapat rasakan saya semakin selesa dengan kereta ini. Boleh bercakap dengan Joylon juga membantu meningkatkan keyakinan saya,” kata Smih.

Inisiatif tu adalah sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-40 pasukan Renault Sport Formula One.

Moral daripada kisah ini? Jangan sesekali memandang rendah kepada warga emas dan orang perempuan kerana mereka juga mampu melakukan apa sahaja. #FollowYourPassion

GALERI

Google ads
Back to top button