
NINJA VAN MALAYSIA BUKA 44 LALUAN GLOBAL, HARGA PENGHANTARAN SERENDAH RM30
Ninja Van Malaysia melancarkan 44 laluan penghantaran antarabangsa baharu, sekali gus menjadikan rangkaiannya meliputi 46 destinasi global termasuk Singapura dan Filipina.
Laluan ini merangkumi pasaran utama di Asia Pasifik, Amerika Utara, Amerika Latin, Timur Tengah dan Eropah.
Perkhidmatan baharu ini menawarkan kadar penghantaran lebih 50 peratus murah berbanding kaedah tradisional, dengan harga bermula serendah RM30 serta tempoh penghantaran antara 7 hingga 12 hari, bergantung kepada destinasi.
Langkah tersebut dilihat menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang mahu menembusi pasaran global, memandangkan pasaran e-dagang Malaysia dijangka berkembang pada kadar tahunan 14 peratus kepada RM36.2 bilion (AS$8.6 bilion) menjelang 2027.

Untuk rekod, antara 2016 hingga 2023, lebih 1.51 juta perniagaan telah menyertai sektor ini.
Naib Presiden Serantau Ninja Van Rentas Sempadan, Jeremy Hong, berkata pelancaran laluan baharu ini memberi peluang kepada usahawan Malaysia untuk membina pelanggan antarabangsa dengan lebih kos efektif.
“Kami mahu menghapuskan halangan logistik supaya jenama Malaysia dapat berkembang dengan yakin di pasaran luar negara,” katanya.
Antara kemudahan utama yang ditawarkan termasuk pengurusan penghantaran domestik dan antarabangsa melalui papan pemuka tunggal, pemprosesan pesanan pantas, bantuan dokumentasi kastam, penghantaran pintu ke pintu, serta penjejakan masa nyata.

Ninja Van kini beroperasi melalui hab utama seluas 260,000 kaki persegi di Shah Alam, disokong oleh 160 hab tambahan, 5,000 titik serahan dan pengambilan serta 7,000 kenderaan.
Di peringkat serantau, syarikat ini mengurus lebih 2 juta bungkusan setiap hari dan telah membantu 270,000 peniaga menjalankan penghantaran antarabangsa.
Dengan pengembangan ini, Ninja Van Malaysia dilihat semakin kukuh sebagai penyedia logistik pilihan bagi perniagaan tempatan yang mahu melangkah ke pentas global.
- BACA: KTM NAIK TARAF 690 SMC R DAN 690 ENDURO R BAGI TAHUN 2026 – 77.9HP, 73NM
- BACA: LEXUS SPORT CONCEPT BAYANGAN MODEL BERPRESTASI LEXUS, GANTI LFA? BAGAIMANA DENGAN SUPRA?
- BACA: BMW UCAP SELAMAT TINGGAL 8 SERIES DENGAN SENTUHAN KLASIK M HERITAGE
- BACA: TOYOTA GR SUPRA BAKAL DIHENTIKAN DI AUSTRALIA – TERIMA KASIH DI ATAS KHIDMAT!




