NISSAN CARAVAN MYROOM 2024, RUANG BELAKANG UNTUK KERJA, MAKAN DAN TIDUR!
Selain kereta unik seperti kei-car, pengimport juga sudah membawa masuk motorhome dari Jepun. Tidak perlu besar, motorhome tersebut juga comel dalam pakej kecil.
Mungkin model baharu dari Nissan ini bakal dibawa masuk kelak? Nissan melancarkan Caravan MYROOOM selepas MYROOM Launch Edition yang dijual dalam tempoh terhad pada 2023.
Berbeza dengan Launch Edition yang diubah suai dari Caravan Premium GX, pengguna mempunyai satu lagi varian iaitu Premium GX pada harga yang lebih rendah.

Dari segi rekaan luar, model standard hadir tanpa riasan berlebihan atau rim sport kerana Caravan MYROOM mementingkan kegunaan ruang dalam.
Cumanya, warna badan Deep Forest dan warna khas dua tona MYROOM iaitu Sand Beige dan White dapat diselarikan dengan konsep gaya hidup aktiviti luar.
Secara keseluruhan, Nissan menawarkan lima warna kepada pelanggan. Untuk kelengkapan, ciri-ciri Caravan MYROOM sama seperti Launch Edition.

Kelengkapan Caravan MYROOM 2024:
- Tema era kayu yang ringkas, minimalis dan sofistikated ala bilik hotel pereka
- Gabungan katil dan meja membolehkan bahagian dalam ditukar kepada ruang tamu, bilik tidur atau ruang makan
- Kerusi baris kedua jenis 2 dalam 1. Tempat duduk ala sofa, boleh dilipat rata dan ditukar untuk menghadap ke pintu but belakang
- Dua jenis katil; lipat atau katil angkat atas MYROOM yang boleh dibuka dengan satu langkah dan diturunkan dengan perlahan
- Meja gelongsor yang boleh digerakkan dari depan ke belakang
- Riasan luar khusus seperti jeriji, hendal pintu, rim besi hitam dan cermin belakang gelap
- Pilihan pelekat MYROOM
- Pilihan bateri Mudah Alih Dari Leaf untuk pembekalan kuasa elektrik

Perbezaan di antara Caravan Grand Premium GX MYROOM dan Premium GX MYROOM:
- Pintu gelangsar penumpang sisi dengan satu sentuhan automatik dan mekanisma anti tersepit – Standard pada Grand Premium, pilihan untuk Premium
- Penutupan pintu gelangsar automatik kedua-dua sisi- Standard pada Grand Premium, pilihan untuk Premium (sebelah penumpang sahaja)
- Penutupan pintu belakang automatik – Standard pada Grand Premium, pilihan untuk Premium
Pilihan untuk kedua-dua varian:
- Spesifikasi musim sejuk
- Katil Lipat MYROOM
- Langsir, bidai kayu, penggulung tirai
- Kit badan
- Pelekat MYROOM
- Bateri Mudah Alih Dari LEAF

Caravan MYROOM digerakkan dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter QR20DE petrol atau 2.4 liter 4N16 diesel turbo dengan kotak gear automatik tujuh kelajuan kawalan elektronik (7M-ATx).
Kedua-dua jenis enjin ditawar bersama pacuan dua roda (2WD) atau empat roda (4WD).
Harga bermula dari 5,516,500 yen (RM168,724) bagi varian Premium GX 2.0 2WD (katil lipat) sehingga 6,855,200 yen (RM209,747) untuk varian teratas Grand Premium GX 2.4 4WD (katil MYROOM).
Kredit gambar: Nissan




















































