Artikel Pilihan

NISSAN Be-1 – SEBUAH MODEL KLASIK YANG TIDAK PERNAH DIKETAHUI

Menyebut tentang model Nissan bersaiz kompak dan comel, sudah tentu kita mengingati tentang sebuah model milik Nissan yang cukup terkenal, Micra (March). Tapi Brader Karrager cukup yakin ramai diantara kita yang tidak pernah mengenali tentang sebuah lagi model yang mempunyai saiz dan dimensi yang lebih kurang sama, Nissan Be-1.

Nissan Be-1 ini sebetulnya mempunyai jangka hayat cukup singkat ketika pengeluarannya. Nissan Be-1 ini mula dipasarkan pada tahun 1987 dan tamat pada tahun 1988. Benar, hanya setahun sahaja tempoh pengeluaran model yang mempunyai paras rupa berunsurkan sedikit retro terutamanya pada dua lampu utama yang bulat itu.

Dan kalau diperhatikan betul – betul, sebenarnya Nissan tidak melekatkan sebarang logo mereka pada badan kereta ini. Yang ada hanyalah logo Be-1 di gril hadapan dan belakang.

Asasnya, Nissan Be-1 ini dibina berdasarkan pelantar model Nissan Micra generasi pertama. Rekaannya ketika itu berunsurkan sedikit moden dan urban berbanding model Nissan Micra yang dikeluarkan ketika itu. Memang nampak beza sangat.

Nissan Be-1 ini menggunakan enjin karburetor 1.0 L (987 cc) MA10S, enjin yang sama juga dipasang pada badan Nissan Micra. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sekitar 51 HP dan tork 38 kW. Enjin yang barangkali nampak lemau ini, dipadankan pula dengan kotak gear manual 5 kelajuan dan juga pilihan kotak gear auto 3 kelajuan.

Melihatkan model standard model ini pun sudah kelihatan menarik, Nissan turut menawarkan varian dengan menggunakan bumbung kanvas untuk lebih kelihatan bergaya sebagai pilihan kemudiannya.

Selain daripada itu, sebuah lagi model tempahan khas turut dibina dengan konsep terbuka, khusus untuk digunakan di Stadium Yokohama untuk perlawanan besbol sebagai kenderaan bantuan. Tempat duduk penumpang pun sudah ditinggikan sedikit berbanding posisi asal.

Tahukah bahawa, walau pun hanya setahun pengeluaran Nissan Be-1 ini, namun sejumlah 10,000 unit tempahan telah diterima dan hanya itulah sahaja unit produksi yang ada. Dan ketika itu, Nissan Be-1 ini hanya boleh ditempah melalui Nissan Cherry Stores sahaja dan hanya dijual di Jepun sahaja. Nak eksport ke luar pun tak dapat pasal yang di Jepun sahaja pun tak menang tangan sebenarnya nak menyiapkannya.

BACA : NISSAN NOTE NISMO BLACK LIMITED EDITION – UNTUK PASARAN JDM SAHAJA

BACA : NISSSAN MARCH SUPER TUBRO – NISSAN DULU BUKANLAH NISSAN SEKARANG

Google ads
Back to top button