Artikel Pilihan

DUTA NISSAN TERBARU IALAH BRAD PITT JEPUN – TAKUYA KIMURA

Nissan baharu sahaja mengeluarkan iklan komersial mereka terbaru mereka di Jepun yang membariskan 7 model terhebat yang pernah mereka keluarkan. Tambah menarik lagi ia juga menampilkan Takuya Kimura, aktor terkenal yang juga mendapat jolokan sebagai Brad Pitt versi Jepun. Fuh kalau kat sini memang Abang Japar la (kembang lubang hidung orang tua tu).

Gandingan dua nama besar ini memang tidak perlu diperkatakan lagi kerana kedua-duanya mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia. Lebih menarik lagi Kimura ataupun dikenali sebagai Kimutaku di kalangan peminatnya sebelum ini ialah jurucakap ataupun duta untuk Toyota selama lebih 20 tahun.

Secara ringkasnya iklan ini memaparkan Kimura memandu Hakosuka Skyline di sebatang jalan yang sunyi sebelum klip seterusnya menunjukkan sebuah Nissan Safari sedang beraksi di laluan off-road. Babak seterusnya ialah kemunculan Nissan Fairlady Z yang sedang memecut dalam hujan ala filem Tokyo Drift sebelum kemunculan R32 Skyline GT-R memecut membelah terowong bagaikan petikan dari siri anime Initial-D. Ia kemudian diakhiri dengan Nissan Ariya terbaharu, sebuah SUV elektrik yang baharu sahaja diperkenalkan di Jepun dalam tahun ini.

Bagi mereka yang tidak meminati budaya pop Jepun sekalipun, iklan Nissan kali ini memang cukup menarik kerana setiap shot diambil dengan cukup cantik bagaikan diambil dari sebuah filem berskala penuh. Penampilan Kimutaku itu mungkin menarik pada mereka yang meminatinya tapi lebih penting model-model kereta yang ditampilkan itu sendiri.

Tapi sebenarnya Takuya Kimura ini ialah satu nama besar di Jepun dan beliau merupakan ikon untuk setiap golongan tak mengira kecil, besar, tua ataupun muda. Beliau menggondol pelbagai anugerah dan merupakan pelakon lelaki paling top di Jepun. Ramai yang mengikuti perkembangan beliau termasuklah peranan beliau sebagai jurucakap Toyota, saingan Nissan sebelum ini.

Kimura telah bersama dengan Toyota sejak RAV4 asal diperkenalkan dan hubungannya dengan Toyota berkekalan selama 23 tahun. Antara iklan beliau bersama Toyota yang paling menarik semestinya ialah iklan Corolla Fielder wagon yang menyaksikan beliau dikejar oleh hampir sedozen Toyota 2000GT.

Jadi lelaki ini bukan sekadar Brad Pitt tiruan tetapi beliau mampu menarik orang membeli kereta yang beliau iklankan. Ada faham? Teringat zaman iklan kereta yang menampilkan artis satu ketika dulu di Malaysia. Nissan March, Hamid Gurkha dan Noreen Noor. Best oo.

Nissan mungkin terpalit dengan pelbagai skandal sebelum ini tetapi iklan ini seolah-olah signal untuk peminat yang mereka yang Nissan akan kembali bangkit sebagai gergasi automotif Jepun.

Google ads
Back to top button