NISSAN ALMERA 2020. 3 VARIAN, ENJIN 1.0L TURBO, NISSAN INTELLIGENT MOBILITY. BOLEH TEMPAH SEKARANG!
Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini mengumumkan bahawa Nissan Almera Turbo serba baharu kini sudah dibuka untuk tempahan. Ia dijangka dilancarkan pada Oktober 2020.
Ada tiga varian yang ditawarkan iaitu 1.0L VL, 1.0L VLP dan 1.0L VLT. Harganya bagaimanapun tidak diumumkan lagi. Namun saya menjangkakan ia sekitar RM70,000 hingga RM90,000 seunit.
Almera Turbo dikuasakan oleh enjin turbo 1.0 liter yang dipadankan bersama kotak gear XTRONIC CVT dengan D-Step Logic System dan mode Sports. Ia mampu menjana kuasa 100PS tork sehingga 152Nm.
Penjimatan bahan api pula cukup bagus, sekitar 18.4km/L (NEDC R101), bersamaan jarak sejauh 650km dengan satu tangki penuh.
Enjin turbo 1.0 liter itu tampil dengan beberapa inovasi teknikal. Pemandu akan dapat merasai pecutan serta-merta, terima kasih kepada waste gate elektronik yang menambah baik mampatan turbo dengan membuka dan menutup injap waste gate secara lebih efisyen, sekali gus mengurangkan turbo lag.
Enjin tersebut hadir dengan Teknologi Mirror Bore Coating yang diadaptasi daripada Nissan GT-R. Ia membantu mengurangkan geseran di antara gelang omboh dan bahagian dalam selinder, seterusnya dapat meningkatkan ketahanan, mengurangkan masalah kehausan dan pengurusan haba.
Selain daripada enjin turbo, Almera Turbo didatangkan dengan teknologi keselamatan termaju iaitu Nissan Intelligent Mobility dan Safety Shield 360. Intelligent Forward Collision Warning (IFCW) dan Intelligent Forward Emergency Braking (IFEB) merupakan ciri standard pada ketiga-tiga varian.
Sementara varian paling tinggi ditambah dengan sistem Blind Spot Warning (BSW), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Intelligent Around View Monitor (I-AVM) dengan Moving Object Detection (I-MOD)
Reka bentuk luaran baharu diserlahkan menerusi gril hadapan V-motion. Lampu utama LED berbentuk boomerang yang menghiasi bahagian hadapan pula memberikan profail yang kemas bersama garis bumbung seperti terapung.
Manakala lampu belakang LED memberikan gayaan moden dan aerodinamik.
Secara keseluruhannya, Almera Turbo adalah 70mm lebih panjang, 45mm lebar dan 40mm lebih rendah berbanding Almera generasi pertama. Ini membuatkan Nissan Almera Turbo mempunyai saiz seperti sebuah sedan segmen C, tetapi lebih sporty. Tapak roda juga telah dipanjangkan sebanyak 20mm.
Di ruang kabin, panel instrumen jenis ‘Gliding Wing’ terkini tampil dengan sentuhan krom, kemasan piano berwarna hitam dan tekstur bercorak gentian karbon nyata memberikan ambien yang mewah.
Sementara stereng sporty yang rata pada bahagian bawahnya, papan pemuka yang dibalut kulit lembut bersama jahitan berkembar dan paparan skrin sentuh termaju bersaiz 8” dengan grafik pintar melengkapkan lagi pakej tersebut.
Ruang kargo yang seluas 482L (VDA) dan mampu menempatkan sehingga 4 beg golf kini hadir dengan bukaan lebih rendah serta luas agar mudah diakses.
Istimewa untuk pasaran Malaysia, Almera Turbo menawarkan tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 sekiranya anda memerlukan lebih ruang kargo atau membawa barangan yang panjang.
Dua varian teratas Almera Turbo didatangkan dengan 6 Beg Udara SRS (2 beg udara pada varian standard).
Ciri-ciri keselamatan lain termasuklah Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS), Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Brake Assist (BA), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Hill Start Assist (HSA) cagak Kerusi Keselamatan Kanak-kanak dengan Top Tether (ISOFIX x2) dipasang pada semua varian.
Enam warna dengan tiga warna baharu ditawarkan iaitu merah, oren dan kelabu gelap. Manakala warna popular seperti putih, hitam dan perak juga ada disediakan.
Almera Turbo hadir dengan jaminan selama 5 tahun tanpa had perbatuan dan 5 kali servis percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh). Penyerahan rasmi dijadual pada Oktober 2020.
Orang ramai dijemput untuk menyertai Preview Eksklusif Nissan Almera Turbo Serba Baharu di beberapa bilik pameran terpilih di seluruh negara pada dua hujung minggu iaitu 5 hingga 6 September dan 11 hingga 13 September.
Pandu uji Nissan Almera Turbo Serba Baharu dan rebut peluang memenangi 15 unit iPhone SE (128GB) bernilai RM2,199 setiap satu.
- BACA: NISSAN ALMERA BAHARU SUDAH SAMPAI DI MALAYSIA. TAMPIL LEBIH ELEGAN, MODEN
- BACA: NISSAN ALMERA, APA YANG KITA TAHU SETAKAT INI….
- BACA: HRA0 INI KOD ENJIN ALMERA BARU
- BACA: NISSAN ALMERA 2019 DILANCARKAN DI THAILAND. 1.0L TURBO, BERMULA RM68.5K
GALERI