Buletin

JAECOO J5 RASMI DILANCARKAN -HARGA BERMULA RM108K

JAECOO J5 hari ini secara rasmi dilancarkan untuk pasaran tempatan, dengan tawaran harga bermula RM108,000.

JAECOO J5 merupakan SUV segmen-B yang lebih kecil serta lebih mampu milik berbanding J7. Model ini tampil dengan dimensi panjang 4,380mm, lebar 1,860mm, tinggi 1,650mm serta jarak roda 2,620mm.

Dari sudut rekaan, J5 masih mengekalkan DNA J7 dengan garisan badan yang lurus dan kemas, sekali gus memberikan aura premium yang mengingatkan kepada gaya SUV mewah seperti Range Rover.

J5 tampil dengan lampu utama LED jenis projektor yang tirus bersama lampu siang dua jalur di kiri dan kanan, mengapit gril besar berkonsep “waterfall”.

Bahagian bawah bampar menampilkan bukaan udara melintang penuh, sementara di belakang, lampu kombinasi LED nipis direka bersambung merentangi pintu but.

SUV ini dipadankan dengan rim aloi dwi-tona 18-inci bercorak multi-spoke. Sistem suspensinya menggunakan topang MacPherson di hadapan dan multilink di belakang

Bahagian kabin pula mengambil inspirasi jelas daripada J7, menampilkan skrin infotainmen potret bersaiz 13.2-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay/Android Auto, kluster meter digital 8-inci, serta stereng pelbagai fungsi empat jejari dengan rekaan unik seakan dua jejari.

SUV lima tempat duduk ini turut dilengkapi kemasan kulit tiruan penuh, sistem audio dengan 8 pembesar suara, serta bumbung panorama “moonlight” yang menambah rasa lapang dalam kabin.

Dari segi praktikaliti, ruang kargo J5 menawarkan kapasiti 480 liter, dan boleh diperluas sehingga 1,284 liter apabila kerusi belakang lipat 60/40 diturunkan.

Untuk pasaran Malaysia, J5 ditawarkan dengan enjin empat silinder 1.5-liter cas turbo yang menghasilkan kuasa 147PS dan tork 210Nm, dipadankan bersama transmisi CVT.

Sebagai rekod, model ini mencatatkan kadar penggunaan bahan api sekitar 6.4 liter bagi setiap 100km mengikut ujian WLTC.

Dari aspek keselamatan, model J5 dilengkapi kamera pandangan sekeliling 540 darjah yang turut memaparkan imej bahagian bawah kenderaan untuk membantu pemandu melihat kawasan ‘blind spot’ dengan lebih jelas.

Selain itu, ia turut dibekalkan dengan pakej bantuan pemanduan Tahap 2.5 (ADAS), merangkumi kawalan jelajah adaptif bersama fungsi mengikut kenderaan pada kelajuan rendah, serta beberapa sistem pencegahan dan pengurangan risiko pelanggaran bagi meningkatkan tahap perlindungan ketika memandu.

Sempena pelancaran, OMODA | JAECOO Malaysia telah memperkenalkan Pakej Pelancaran Istimewa yang sah dari 5 – 15 Mac 2026, memberi peluang kepada pelanggan awal untuk menikmati nilai luar biasa dengan JAECOO J5.

Seperti dinyatakan di atas, JAECOO J5 boleh dimiliki pada harga bermula RM108,000. Namun, dengan rebat serta pakej pelancaran, model ini ditawarkan pada harga bermula RM102,000.

Sebagai sebahagian daripada Pakej Pelancaran Istimewa, pelanggan akan menerima:

  • Rebat Duit Raya RM3,000.
  • Insurans Percuma Tahun Pertama ATAU Duit Raya Tambahan RM3,000.
  • Pakej Tiga (Trio) Aksesori Kereta J5 bernilai RM2,000.

Pakej Tiga (Trio) Aksesori Kereta terdiri daripada:

  • Subwoofer – menghasilkan bunyi bes yang mendalam dan mengasyikkan untuk menambah baik pengalaman audio dalam kereta.
  • Mikrofon karaoke tanpa wayar – mengubah kenderaan menjadi pusat hiburan bergerak.
  • Lampu suluh berbilang fungsi – alat kegunaan lasak berbilang mod, sesuai untuk perkhemahan dan lampu keselamatan di waktu malam.

Semua model JAECOO J5 disertakan waranti kenderaan komprehensif 7-tahun / 150,000 km, yang mana lebih awal.

GALERI:

Google ads
Back to top button