
OMODA | JAECOO ANJUR PERTANDINGAN TEKNIKAL JULUNG KALI DI MALAYSIA
Pertandingan Kemahiran Teknikal OMODA | JAECOO buat julung kalinya diadakan di Malaysia, menyaksikan penyertaan lebih 130 juruteknik daripada 48 pengedar sah seluruh negara.
Acara yang berlangsung di D Champion Auto Sdn Bhd, Klang itu menampilkan gabungan ilmu teori dan praktikal, sekali gus menjadi pentas penting untuk menguji kepakaran serta semangat daya saing dalam kalangan juruteknik tempatan.
Daripada ratusan peserta, hanya 10 finalis terbaik mara ke pusingan akhir. Kejayaan tertinggi menjadi milik Wong Sau Seng dari Gagner Auto Sdn Bhd, yang dinobatkan sebagai Juara Kebangsaan.
Beliau bakal membawa cabaran Malaysia ke Pertandingan Kemahiran Dunia OMODA | JAECOO di China pada Oktober ini.

“Pencapaian ini lahir daripada sokongan padu syarikat saya, serta bimbingan pengurus dan ketua yang sentiasa mendorong saya untuk meningkatkan diri. Kini saya berbesar hati diberi peluang mewakili Malaysia di peringkat global,” kata Wong.
Naib juara dimenangi oleh Ng Chen Ton dari CarShen Sdn Bhd, manakala tempat ketiga menjadi milik Syasya Mazdiana Binti Nor Azman dari Anggerik Auto Sdn Bhd, yang juga satu-satunya peserta wanita di pentas akhir.
Syasya menyifatkan kejayaannya sebagai bukti wanita mampu berdiri sama tinggi dalam bidang teknikal automotif.
“Jangan pernah ragu dengan kemampuan diri. Cabaran yang datang adalah peluang untuk membuktikan potensi kita. Dunia automotif memerlukan lebih ramai wanita hebat,” katanya.

Pertandingan ini dinilai secara menyeluruh oleh panel hakim daripada pasukan teknikal Chery Malaysia.
Penilaian teori merangkumi 30 peratus markah, manakala ujian praktikal, termasuk penyelesaian masalah sebenar, kualiti pembaikan serta kecekapan kerja menyumbang 70 peratus markah keseluruhan.
Naib Presiden OMODA | JAECOO Malaysia, Emily Lek, berkata pertandingan ini mencerminkan usaha berterusan jenama tersebut untuk menegakkan standard teknikal bertaraf dunia serta meningkatkan kepuasan pelanggan di Malaysia.
“Semangat kecemerlangan ini bukan sahaja mengangkat martabat juruteknik kita, malah menunjukkan komitmen OMODA | JAECOO dalam melahirkan bakat terbaik yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Penganjuran edisi pertama ini menjadi bukti kesungguhan OMODA | JAECOO untuk melabur dalam pembangunan tenaga kerja mahir, di samping memperkukuh pengalaman pemilikan kenderaan pelanggan di negara ini.









