
OMODA & JAECOO CIPTA REKOD JUALAN GLOBAL BAHARU
Jenama OMODA & JAECOO terus mencatat pertumbuhan kukuh di peringkat antarabangsa apabila jualan global bagi September 2025 mencapai 32,840 unit, rekod baharu dengan momentum eksport yang semakin meningkat.
Sejak dilancarkan 29 bulan lalu, jumlah jualan kumulatif kedua-dua jenama itu kini melepasi 630,000 unit, manakala jualan dari Januari hingga September 2025 mencecah 244,522 unit, meningkat 39 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini meluas di pelbagai rantau, di mana Mexico mencatat peningkatan jualan bulanan 40 peratus, manakala Thailand mencapai rekod baharu dengan lebih 4,000 unit terjual dalam sebulan.
Di Eropah, sebanyak 11,663 unit dieksport meskipun pasaran keseluruhan menunjukkan penyusutan, hasil penambahbaikan kualiti dan pematuhan terhadap piawaian keselamatan serta alam sekitar serantau.

Segmen kenderaan tenaga baharu (NEV) menjadi pemacu utama, menyumbang 57 peratus daripada jumlah jualan September dengan 18,999 unit terjual.
Dari Januari hingga September, lebih 110,000 unit NEV berjaya dijual. Antara model utama ialah O5 SHS-H (melebihi 10,000 unit dalam tiga bulan) dan J7 SHS (6,471 unit pada September, lebih 70,000 unit setahun ini), dijual di lebih 10 negara, termasuk Malaysia.
Kedua-dua model ini dilengkapi sistem Super Hybrid System (SHS) yang menawarkan penggunaan bahan api rendah, jarak jauh dan peralihan lancar antara mod petrol dan elektrik.
OMODA turut memperkenalkan model hibrid premium OMODA 9 SHS dengan teknologi Quad-Motor AWD PHEV, menjana 395kW dan 650Nm tork, serta pecutan 0–100km/j dalam 4.9 saat.
Model ini akan membuat penampilan di Chery User Summit 2025 bagi demonstrasi prestasi di litar.
Melalui strategi dwi-jenama, OMODA menumpukan kepada model Crossover bergaya moden, manakala JAECOO menawarkan kenderaan off-road mewah berprestasi tinggi. Kedua-duanya kini memiliki barisan lengkap sedan, SUV dan kenderaan lasak bagi memenuhi pelbagai segmen pasaran.
Selain itu, jenama ini terus melabur dalam teknologi pintar melalui kerjasama dengan AiMOGA bagi menghasilkan robot interaktif “Mojia Robot”, serta penganjuran Persidangan Ekosistem Pengguna OMODA & JAECOO 2025 bertemakan “Co-Create-Define” untuk memperkukuh hubungan dengan pengguna global.
Dengan momentum eksport yang memberangsangkan dan inovasi berterusan, OMODA & JAECOO kini muncul antara jenama automotif China paling pesat berkembang di pasaran dunia.
- BACA: TOYOTA LAND CRUISER FJ DIPERKENAL DI JEPUN – ENJIN 2.7L, 161HP, DEBUT DI JAPAN MOBILITY SHOW 2025
- BACA: LAGI IMEJ HONDA CB1000 GT BOCOR, DOKUMEN TERBARU DEDAH 150HP
- BACA: RAPIDO PERKENAL TIGA PRODUK BERPRESTASI TINGGI UNTUK PASARAN MALAYSIA
- BACA: RASMI: YAMAHA YZF-R25 GENERASI TERBARU LANCAR DI MALAYSIA – RM23,098









